Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Nampak wajah perempuan




DARAT PAK CHAN – “Saya nampak imbasan (bayangan) wajah seorang perempuan sebelum kenderaan ini bertembung,” kata pemandu kepada Allahyarham Datuk Awang Jabar, Abdul Razak Awang, 66, yang terselamat dalam nahas jalan raya di Kampung Alor Tuman.

Abdul Razak yang ditahan selama empat hari di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dibenarkan pulang kelmarin, selepas terlibat dalam nahas di Kilometer 26, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan pada 20 September lalu.

Abdul Razak terselamat dalam nahas jalan raya itu yang mengorbankan bekas Setiausaha Parlimen di Kementerian Belia dan Sukan, Allahyarham Datuk Awang Jabar yang juga merupakan rakan baiknya sejak 30 tahun lalu.

Turut terkorban dalam kemalangan itu, seorang warganegara Yaman, Nesmah Nabil Abdul Karem Al-Saiban, 25, yang menaiki kenderaan jenis Perodua Alza dipandu Mohamad Hassan Ali selepas bertembung dengan Mercedes Benz dipandu Abdul Razak.

Dalam kejadian pada jam 7.10 pagi itu, Abdul Razak bersama Allahyarham sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan untuk menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Dungun.

Mengulas lanjut, Abdul Razak yang ditemui Sinar Harian di rumahnya di Desa Permai di sini, semalam, berkata, dia seolah-olah berada di dunia lain (bermimpi) namun tersedar semula selepas bayangan itu hilang dari pandangan matanya.

“Perempuan itu juga melarang saya melalui jalan ini tetapi peringatannya itu sudah terlalu hampir dengan tempat kejadian. Sejurus kemudian saya gagal mengawal kenderaan apabila muncul sebuah kenderaan di hadapan sebelum bertembung,” katanya.

Abdul Razak, berkata, kenderaan jenis Perodua Alza itu dipandu dengan laju dan gagal memasuki lorongnya semula selepas memotong menyebabkan kenderaan jenis Mercedes Benz yang dipandunya bertembung dan terbabas di tepi jalan.

Menurutnya, berikutan pertembungan itu, dia mengalami kecederaan pada dahi, mata dan rusuk kiri serta tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke HSNZ, Kuala Terengganu.

“Namun saya reda dengan apa yang berlaku. Ini sebab, kejadian ini sudah ketentuan-Nya dan pada malam sebelum kejadian, arwah juga seolah-olah tidak sabar untuk ke Dungun serta kerap berpesan agar saya tidak lupa mengambilnya di Kuala Terengganu.

“Malah arwah juga berpesan agar saya membawa baju lebih untuk solat di rumahnya Kampung Dendang (Bukit Besi),” katanya mengimbau semula perbualannya melalui telefon bersama Allahyarham pada malam sebelum kejadian.

Dalam pada itu, Razali berkata, selain sikap pemandu yang cuai dan faktor jalan sempit di lokasi kejadian juga menyumbang berlakunya kemalangan di kawasan itu.

No comments:

Post a Comment