Search This Blog

Saturday, September 10, 2011

Mekanik tidak mengaku samun



PETALING JAYA 9 Sept. – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyamun seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), bulan lalu.
Mohd. Zamhuri Azhari, 24, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Razaina Razali, 19, dengan merampas sebuah komputer riba dan telefon bimbit pelajar itu.
Dia didakwa berlaku di jalan masuk ke tapak pembinaan My Rapid Transit (MRT) Lembaga Getah Malaysia, Sungai Buloh di sini pada pukul 9.30 malam, 27 Ogos lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan.
Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, seorang penganggur dipenjara lapan bulan kerana mencuri 10 gulung paip tembaga dan wayar elektrik bernilai kira-kira RM3,000 pada Ahad lalu.
M. Murugan, 29, dijatuhi hukuman tersebut setelah mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah kedai milik See Kok Choy, 43, di No. 4 Jalan PJS 1/140, Taman Medan Pejasa di sini pada pukul 12.15 tengah malam, 4 September lalu.

No comments:

Post a Comment