Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Mat rempit tak serik dicekup



BANDARAYA MELAKA - Tindakan mat rempit yang tidak serik-serik melakukan kegiatan lumba haram mendorong anggota trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan sekatan jalan besar-besaran sempena hujung minggu, awal pagi Sabtu dan semalam.

Sepanjang operasi bersepadu dua hari berturut-turut itu, beberapa pemilik kenderaan turut kelihatan melarikan diri daripada sekatan, bagaimanapun berjaya dipatahkan dengan peranca-ngan rapi polis dengan menutup laluan-laluan tertentu.

Dalam operasi di tiga lokasi berasingan di negeri ini, sebanyak 368 kenderaan diperiksa di Lebuh AMJ dekat Semabok, awal pagi Sabtu lalu, sementara 229 kenderaan di Jalan Persimpangan Eye On Malaysia dekat Kota Laksamana dan Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 kenderaan termasuk dua buah kereta disita kerana pelbagai kesalahan; antaranya tidak mempunyai cukai jalan dalam operasi bermula 2 pagi sehingga 7 malam.

Ketua Operasi, Pegawai Penguat kuasa Trafik Melaka Tengah, Cif Inspektor Mohd Saharudin Mohd Nor berkata, polis dan JPJ mengeluarkan sebanyak 89 saman pada Sabtu, manakala 68 lagi dikeluarkan semalam.

“Pemeriksaan juga dapat mengesan 10 pengguna jalan raya mempunyai waran tangkap atas kesalahan tidak hadir ke mahkamah dan mereka ini ditahan sebelum dituduh di mahkamah pada 28 September depan.

“Kesemua yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing mendapati dua ditahan kerana masing-masing positif dadah dan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Operasi bersepadu itu turut disertai tujuh pegawai serta 132 anggota polis trafik dari Melaka, Bukit Aman, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan, dibantu 20 anggota JPJ.

Kesemua penunggang motosikal yang ditahan kerana pelbagai kesalahan juga diarah mengusung motosikal mereka sejauh kira-kira lima kilometer ke IPD Melaka Tengah.

No comments:

Post a Comment