Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Laungan selamatkan nyawa



KUALA PILAH – Laungan meminta tolong menyelamatkan seorang warga emas dari menjadi mangsa curi walaupun dia dipukul di kepala dengan sebatang dahan pokok rambutan oleh pencuri.

:Mangsa, Khalijah Idiris, 61, berkata, ketika kejadian pada Jumaat lalu jam 2 petang, dia seorang diri memberi makan kepada kambing-kambing di belakang rumah di Kampung Pilah Tengah.

Menurutnya, dia seorang diri manakala suaminya pergi menunaikan solat Jumaat dan pada waktu ini keadaan sunyi kerana jiran tiada.

“Saya ternampak kelibat seorang lelaki di rumah saya dan menegur tujuan lelaki berkenaan hadir ke ditu.

“Kemudiannya lelaki itu lari entah ke mana dan saya mengesyaki dia hendak mencari besi buruk,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), dekat sini.

Khalijah berkata, selepas selesai memberi kambing makan, dia masuk ke dapur untuk ke bilik air.

“Namun, secara tiba-tiba kepala saya dipukul sehingga berdarah. Saya terkejut, rupa-rupanya lelaki tadi bersembunyi di belakang pintu dapur dan masuk melalui pintu hadapan rumah.

“Saya bergelut dengan lelaki itu untuk melepaskan diri, namun dia terlalu kuat. Lelaki itu cuba merampas gelang emas di tangan saya, namun tidak berjaya dan dan dalam masa sama, saya menjerit dan meminta tolong jiran menghubungi polis sebelum pencuri terbabit melarikan diri,” katanya.

Namun selang beberapa minit katanya, pencuri itu kembali semula menendang pintu belakang yang ketika itu sudah pun berkunci.

“Sekali lagi saya menjerit sekuat hati dan pencuri itu melarikan diri mengikut jalan yang baru siap dibina.

“Selepas itu saya keluar dalam keadaan darah di muka meminta pertolongan jiran mencari suami agar pulang dengan segera,” katanya.

Katanya, selang beberapa minit suaminya pulang dan menghantarnya ke hospital berdekatan.

“Saya ditahan di wad kecemasan memandangkan tekanan darah saya naik mendadak dan perlu ditahan di wad buat sementara waktu sehingga darah kembali stabil.

“Saya bersyukur masih selamat dan kepala tidak retak hanya dahi terpaksa menerima 15 jahitan,” katanya.

No comments:

Post a Comment