Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Kuntom sayu terkenang anak



MARANG – “Kehadiran Syawal ini menambahkan lagi kesa-yuan di hati makcik walaupun arwah meninggalkan kami lebih lima bulan lalu,” kata ibu mangsa kemalangan jalan raya, Kuntom Said, 66, yang kematian anaknya pada 27 Februari lalu.

Anaknya, Mohamad Shukri Awang, 41, maut akibat terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 13.5 jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Rusila, Marang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pengkalan Rajawali, Kuala Terengganu.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, Mohamad Shukri bersama sahabat baiknya, Ismail Ibrahim, 38, maut di tempat kejadian apabila kereta Toyota Corona dipandunya terbabas lalu terbalik selepas merempuh belakang lori.

Akibat rempuhan kuat itu, kedua-dua mangsa tersepit dalam kereta dan disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan dari kenderaan terbabit.

Rela berhabis untuk adik

Kuntom berkata, pemergian anak kelima daripada 14 adik beradik yang bekerja sebagai jurukimpal di sebuah syarikat swasta di Kemaman itu merupakan satu kehilangan besar bagi keluarga dan sehingga kini mereka masih bersedih dengan kehilangannya.

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga sebelum ini banyak dibantu arwah dan arwah rela berhabis duit menanggung keluarga dan mengenepikan keinginannya sendiri.

“Selepas kematian suami beberapa tahun lalu, arwahlah yang banyak membantu meringankan bebanan keluarga ini termasuk menampung perbelanjaan persekolahan adiknya agar mereka dapat terus belajar.

“Hati ibu mana tidak sedih apabila mendapat tahu anaknya terlibat dalam kemalangan ngeri dan terpaksa menerima hakikat ia tidak dapat diselamatkan. Kemeriahan Syawal kali ini juga bertukar menjadi suram setelah pemergiannya,” katanya.

Sebelum kejadian, kata Kuntom, arwah bersungguh menyuarakan hasratnya yang ingin mengumpul wang bagi membaiki ruangan dapur rumah itu yang sering dinaiki air apabila hujan lebat namun hasrat arwah itu tidak kesampaian.

Ketika ditanya, apakah makanan kegemaran arwah apabila Ramadan dan Syawal, Kuntom berkata arwah anaknya kurang menggemari kuih-muih sebaliknya suka makan nasi berlaukkan kuah singgang sahaja.

Kuntom berkata, setiap hari itulah menu utamanya, sama ada puasa, hari raya atau hari biasa.

Arwah rapat dengan ibu

Terdahulu, abang arwah Mohamad Shukri, Mohammad Nazri Awang, 42, ketika ditemui Sinar Harian di Kuala Terengganu menyifatkan kehilangan adiknya itu begitu mengejutkan dan menyedihkan mereka sekeluarga.

Mohammad Nazri berkata, adiknya seorang pengimpal secara kontrak dengan syarikat cari gali minyak beroperasi di darat mahupun di pelantar minyak sekitar perairan Kemaman sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka adiknya itu akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya memandangkan arwah begitu rapat dengan ibu, selepas kematian bapa mereka beberapa tahun lalu.

“Paling menyentuh hati kami sekeluarga apabila terkenangkan arwah ketika itu sedang menjalani pemeriksaan kesihatan dan dalam proses mendapat pas bekerja sebagai pengimpal di pelantar minyak,” katanya.

Syawal kali ini berbeza, namun mereka tidak lupa menziarahi pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Chendering, Kuala Terengganu pada hari mulia ini.

Keluarga Kuntom turut menerima pampasan RM21,500 daripada Construction Industry Development Board (CIDB) Malaysia melalui skim Takaful Keluarga Berkelompok beriku-tan kematian anaknya itu.
SH

No comments:

Post a Comment