Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Koma selepas lahirkan anak



ULU JEMPOL – “Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya”. Hanya itu yang mampu diungkapkan bagi menggambarkan penderitaan ibu muda beranak dua, Rosmawati Abd Wahab, 32, yang koma sejak setahun lalu selepas menjalani pembedahan melahirkan anak keduanya.

Menurut ibu saudaranya, Roslina Harun berkata, anak saudaranya yang mesra dipanggil Wati bekerja sebagai kerani di salah sebuah sekolah dekat Melaka sebelum ini mengalami masalah jantung namun tidak kritikal.

“Ketika mengandung anak kedua, dia mengalami masalah darah tinggi dan tidak sedarkan diri ketika kandungan mencecah sembilan bulan seterusnya dirujuk ke Hospital Besar Melaka bagi menjalani pembedahan menyelamatkan kandungannya.

“Selepas pembedahan Wati tidak sedarkan diri malah dia tidak sempat menyusukan anaknya dan kini dia yang terlantar bergantung harap sepenuhnya dengan bantuan orang lain,” katanya.

Menurutnya, pelbagai ikhtiar diusahakan keluarga supaya Wati dapat kembali pulih seperti sediakala memandangkan bayinya juga memerlukan perhatian kerana turut dilahirkan kurang normal ekoran komplikasi yang dialami ketika dilahirkan.

“Bayi kedua Wati tidak normal seperti bayi lain dan terpaksa menggunakan tiub untuk minum susu malah Wati pun turut bergantung hidup dengan susu khas disalurkan melalui tiub yang ditebuk di lehernya.

“Kini Wati menjalani rawatan susulan dan terapi di Hospital Bandar Jengka sekali sebulan dan kami terpaksa menyewa van untuk membawa dia ke hospital,” katanya.

Roslina berkata, Wati tidak menerima sebarang bantuan namun ada pihak bermurah hati menderma mesin untuk menyedut lendir dalam lubang leher yang ditebuk ketika dia menjalani rawatan di Hospital Besar Melaka dahulu.

“Setiap tiga bulan sekali, Wati perlu menemui pakar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) malah pakar turut memberi harapan bahawa Wati ada peluang untuk sembuh.

“Kami sekeluarga berdoa supaya Wati sembuh dan menjalani kehidupan seperti sediakala,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak sulung Wati tinggal bersama suaminya yang masih bekerja di Melaka dan akan pulang menjenguknya di kampung selang beberapa minggu manakala anak bongsu Wati kini tinggal bersama ibunya di Jengka 16.

Ibu saudaranya yang menetap di Felda Ulu Jempul kini bergilir menjaga Wati ekoran Wati membesar dengan arwah neneknya yang juga peneroka di sini.

Wati kini terpaksa menggunakan lampin pakai buang serta susu khas dengan kos RM63 yang hanya mampu bertahan untuk lima hari.

Wati sebelum ini turut menerima kunjungan Puteri Umno Bahagian Maran serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang turut menyampaikan bantuan.

Jawatankuasa Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) daerah Maran turut menyampaikan sumbangan kepada Wati sekeluarga baru-baru ini bagi membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

No comments:

Post a Comment