Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Kereta terjunam dalam gaung



RAUB – Seorang lelaki maut akibat mengalami kecederaan parah di kepala selepas kereta dinaikinya terbabas dalam kemalangan di Jalan Cheroh – Gesing pada jam 2.30 pagi, semalam.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, mangsa lelaki Orang Asli berusia 41 tahun berasal dari Pos Satak, Ulu Sungai.

Menurutnya, siasatan mendapati Yuzaini Pandak berkhidmat di Kem Wardieburn dekat Setapak, Kuala Lumpur.

“Mangsa dipercayai bersama dua rakannya dalam perjalanan dari Pos Satak ke Sega mengikuti Jalan Cheroh – Gesing.

“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa tidak dapat dikawal ketika cuba mengelak daripada jalan yang sedang dibaiki,” katanya.

Mohd Nazlan berkata, pemanduan mangsa yang gagal dikawal mengakibatkan kenderaan dinaiki mereka terbabas ke kanan jalan lalu terlanggar pokok sawit.

Katanya, berikutan perlanggaran itu juga kereta terjunam ke dalam gaung dan mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

“Dua rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.

“Orang ramai disaran supaya memandu pada tahap kelajuan bersesuaian dengan suasana persekitaran jalan raya supaya kejadian tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berharap masyarakat setempat dapat memanfaatkan talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999 untuk menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan dan keamanan setempat.

No comments:

Post a Comment