Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Kedai kopi musnah dihempap pokok



LUBOK SETOL – Ibu tunggal kehilangan mata pencarian apabila kedai kopi yang menjadi sumber rezeki musnah dihempap pokok ketika hujan lebat serta angin kencang melanda Kampung Lubok Setol kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Mangsa, Bidah Besar,49, berkata, dia sedih kerana ketika umat Islam meraikan Aidilfitri, kedai kopinya musnah dihempap pokok besar yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari kedai tersebut.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada dalam rumah hanya beberapa meter dari kedai kopi dan hanya mengetahui insiden itu melalui kakaknya yang tinggal berjiran dengannya.

“Ketika kejadian saya hendak mandi, apabila kakak memberitahu kedai saya musnah dihempap pokok.

“Selama berniaga di kedai ini lebih 20 tahun lalu, bila berlaku kejadian sebegini, saya tidak tahu bagaimana untuk berniaga semula selepas ini,” kata ibu tunggal kepada tiga cahaya mata berusia 13, 12 dan enam tahun ini yang turut menerima bantuan berupa Bantuan kanak-kanak (BKK) sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bidah berkata, walaupun penduduk melihat dia berniaga, tetapi pendapatan yang diperolehnya tidak seberapa tambahan pula dia sering sakit.

Menurutnya, dia menghidap darah tinggi, kencing manis dan juga penyakit jantung.

“Sepanjang Ramadan lalu, saya terpaksa mengupah orang lain untuk memasak kerana tidak mampu memasak sendiri.

“Walaupun pulangan tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya saya memperoleh sedikit wang untuk menyara kami sekeluarga selain bergantung kepada bantuan daripada JKM,” katanya.

Bidah berkata, dia tidak mampu membaik pulih kedai kopi tersebut kerana kosnya agak tinggi.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Fatimah Besar,62, berkata, dia baru sahaja menukar bumbung rumahnya sehari sebelum Aidilfitri.

Menurutnya, hujan lebat serta angin kencang menyebabkan bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Kejadian ini menyebabkan saya kerugian kira-kira RM2,000 kerana banyak zink terpaksa digantikan dengan yang baru,” katanya.

Bagaimanapun dia bernasib baik kerana semua keluarganya selamat dalam kejadian itu.SH

No comments:

Post a Comment