Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Kaki judi mungkin dituduh



GEORGETOWN - Semua mereka yang ditahan kerana berjudi ketika serbuan di premis perjudian berkemungkinan akan dikenakan tindakan undang-undang, bukan sekadar dijadikan saksi seperti dilakukan sebelum ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, sebelum ini memang ada peruntukan undang-undang untuk menuduh pemain di premis perjudian namun ia tidak dilaksanakan dan mereka dijadikan saksi.

Ayub berkata, terdapat peningkatan jumlah serbuan di lokasi perjudian di negeri ini jika dibandingkan tempoh sama tahun lalu.

Dari Januari hingga Ogos tahun ini, 1,718 serbuan dibuat, 631 orang ditahan dan 6,416 set komputer yang mengandungi perisian perjudian dirampas. Dalam tempoh yang sama tahun lalu, 641 serbuan dibuat, 271 orang ditahan dan 1,972 set komputer dirampas.

Dalam perkembangan lain, Ayub berkata, polis kini sedang giat mengesan mana-mana premis perjudian yang tidak mempunyai lesen dalam usaha membanteras perjudian haram.

Menurutnya, memandangkan masyarakat masih tidak serik walaupun banyak tangkapan telah dibuat, polis kini giat menjalankan operasi melibatkan anggota dari Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) serta Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

“Kita melancarkan operasi di banyak lokasi dengan menumpukan kepada tiga lokasi ‘panas’ perjudian iaitu Timur Laut, Barat Daya serta Seberang Jaya Tengah (SPT).

“Sebanyak 30 sasaran sudah dikesan yang melibatkan beberapa kawasan antaranya Jelutong, Lebuh Chulia dan Lebuh Macallum," katanya.

No comments:

Post a Comment