Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Jabat salam tipu jual nombor


KAWASAN Wisma Indah di Jalan Pudu, Kuala Lumpur yang dikatakan menjadi tempat seorang lelaki ligat memperdaya mangsa.

KUALA LUMPUR – Berhati-hati jika terserempak dengan seorang lelaki berpakaian lusuh berusia lingkungan 50-an ketika anda melalui kawasan bangunan Wisma Indah di Jalan Pudu di sini.
Ia berikutan anda mungkin akan diperdaya lelaki tersebut untuk mendapatkan wang kononnya dia mempunyai empat digit nombor yang bakal memenangi hadiah jika dibeli di kedai agensi nombor ramalan.
Lelaki berbadan sederhana itu dikatakan berkeliaran di kawasan itu sejak sebulan lalu dengan menjadikan kawasan itu sebagai lubuk memperdaya si kaki judi. Dia akan meminta sebanyak RM30 dan RM50 bagi setiap orang yang ditemuinya.
Tinjauan Kosmo! mendapati kawasan itu sebelum ini dijadikan tempat pelacur mencari pelanggan.
Sebaik didekati, lelaki itu akan berjabat salam sebelum mengucapkan ayat pujukan seperti: “Saya tengok muka awak memang ada rezeki untuk kena nombor ekor tetapi sebelum itu saya mahu tengok awak punya hati ada baik atau tidak.
“Awak boleh bagi saya RM30 sebagai cubaan untuk menguji diri supaya nombor yang dibeli diberkati,” pujuknya.
Bagaimanapun, nombor yang diberi itu sebenarnya tipu dan dia hanya menyebutnya untuk meyakinkan mangsa.
Seorang pengusaha bengkel dikenali sebagai Ah Peng, 41, berkata, lelaki itu akan muncul dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan akan datang semula pada pukul 3 hingga 5 petang.
Seorang lagi yang ditemui, Sabran Mustafa, 34, berkata, dia juga dikunjungi lelaki terbabit yang turut menawarkan nombor ramalan.
Katanya, lelaki itu kononnya mahukan wang sebagai tanda keberkatan untuk nombor yang akan diberi bagi menguji tahap peribadi dirinya.
“Buat apa saya nak bagi dia duit sedangkan saya tak pernah beli nombor ekor. Kalau nombor itu boleh menang mengapa dia tidak beli sendiri?” soalnya.

No comments:

Post a Comment