Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Ibu Nur Ain terkilan



ULU TIRAM – Keluarga mangsa tikam 19 kali dan simbah asid, Nur Ain Ashikin Jemedi, 18, terkilan tidak dapat meluangkan lebih masa bersama sebelum mangsa disahkan meninggal dunia 7 Januari lalu.

Ibu mangsa, Tuminah Samsuri, 55, berkata, anak kedua bongsu dari enam beradik itu baru setahun tinggal bersamanya kerana sebelum itu dihantar ke Tunas Bakti selama dua tahun.

“Dia dihantar untuk ke sekolah itu pada tahun 2008, ketika arwah suami masih ada kerana Nur Ain mempunyai masalah untuk meneruskan persekolahan.

“Biarpun arwah bersekolah jauh, namun setiap kali perayaan, dia pasti balik ke rumah. Saya lihat sepanjang dia di sana, ada bibit-bibit perubahan ke atas dirinya dan saya bersyukur,” katanya yang ditemui Sinar Harian, di sini, baru-baru ini.


Pemergian Nur Ain amat dirasai

Bagi kakak sulung mangsa, Marlina Jemedi, 32, berkata, pemergian adiknya amat dirasai keluarga khususnya ibunya.

“Adik seorang yang ramah dan suka mengusik emak. Dia suka ajak emak berbual dan sejak kepulangannya dari Tunas Bakti, dia memang rapat dengan emak.

“Emak ada menyatakan perasaan ada kalanya teringat pada arwah adik dan kadangkala menitiskan air matanya secara tiba-tiba,” katanya.

Biarpun insiden itu berlaku Disember lalu, namun kisah itu masih berbekas dalam kehidupan keluarga memandangkan penjenayah merupakan anak angkat keluarga tersebut.

Marlina berkata, simpati dan sedih apa yang berlaku ke atasnya adiknya, dia hanya menemui Nur Ain tiga hari sebelum itu dan hanya mendengar suaranya pada malam sebelum kejadian.

“Saya kerja syif pagi dan jarang berjumpa sebab ketika saya tidur, adik baru pulang dari mengikuti pakcik berniaga udang di pasar malam. Tapi saya sempat mendengar suaranya pada malam sebelum kejadian dan dia kelihatan ceria.

“Tiada petanda pelik, cuma adik kelihatan rajin seminggu sebelum kejadian kerana sebelum ini Nur Ain jarang untuk membantu di dapur, namun ia berlaku sebaliknya,” katanya.

Marlina berkata, kesan tompokan darah di tilam dan bilik air masih kelihatan membuatkan mereka sekeluarga sering teringatkan Allahyarham setiap kali memandangnya.

“Tidak sangka tahun lepas merupakan tahun akhir kami beraya bersama. Biarpun selama ini adik tinggal berasingan, namun setiap kali raya, kami pasti bersama,” katanya.

Sementara itu, bagi abang mangsa, Khamis, 26, berkata, dia sememangnya pernah menegur lelaki terbabit (penjenayah) agar tidak mendekati adiknya, namun tidak diendahkan.

“Dia kerap datang dan saya banyak kali bersemuka memberitahu jangan paksa adik menyukainya, namun dia tetap berdegil.

“Perbuatannya (penjenayah) terhadap adik tidak boleh dimaafkan. Ia perbuatan yang kejam dan zalim,” katanya.

Jenazah Nur Ashikin dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Redan, Kota Tinggi selepas 23 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).

Dalam kejadian pukul 9.15 pagi 16 Disember lalu, mangsa yang berasal dari Kampung Baru Sungai Redan, Kota Tinggi ditikam bertubi-tubi dan disimbah asid, sehingga mengakibatkan dirinya melecur 75 peratus.

Habin Sulaiman, 42, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Tinggi, kerana cuba membunuh dan menyebabkan kecederaan parah dengan menikam 19 kalli dan menyimbah asid terhadap pada pertengahan Disember lalu.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
SH

No comments:

Post a Comment