Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Harlizan kongsi kisah duka di Lombok



KUALA TERENGGANU – Pengalaman menjadi pelarian di perantauan pagi hari raya cukup memberi kesan kepada ibu tunggal, Harlizan Ibrahim, 36 walaupun kini selamat kembali ke tanah air.

Demi cinta pandang pertama bersama jejaka yang menjadi pilihannya dari Lombok, Indonesia, Harlizan sanggup menetap di sana berjanji sehidup semati membina kehidupan bahagia yang diidamkan.

Namun takdir Tuhan tiada siapa dapat menyangka, semua itu berlaku hanya untuk seketika, apabila semuanya musnah kerana insan yang selama ini disanjung, Abdullah Asbi terputus hubungan setelah kembali ke Malaysia kononnya pergi mencari rezeki.

“Saya sempat beraya di sana selama dua tahun, tetapi paling sedih, hanya raya tahun pertama sahaja dirai bersama Asbi.

“Semuanya menjadi duka apabila raya tahun kedua, dia (Asbi) tidak lagi dapat dihubungi walaupun pada waktu itu saya telah selamat melahirkan anak lelaki, Zulfaqar Abdullah Asbi yang ketika itu berusia lima bulan,” katanya yang masih tidak dapat melupakan peristiwa hitam itu ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Nibong Atas, di sini.

Larikan diri pada hari raya keenam

Menurutnya, akibat tidak dapat menahan penderitaan yang dialami, pada hari raya keenam, Harlizan nekad melarikan diri dengan membawa anak yang dibungkus dengan kain tuala.

“Sebenarnya saya takut untuk berada di negara itu kerana visa telah tamat tempoh, bimbang berlaku sebarang kejadian buruk terhadap kami anak beranak,” katanya.

Pada hari berkenaan, orang lain masih sibuk menyambut Aidilfitri, tetapi Harlizan, pada jam 6 pagi sudah berada di Pekan Narmada untuk bertemu dengan pihak berkuasa di sana.

“Pada mulanya saya mahu ke pejabat duta Malaysia di sana, tetapi semua orang cakap tempat itu terlalu jauh dan dengan keadaan yang tidak cukup duit, saya gagahkan diri membawa anak dengan menumpang sebuah motosikal ke balai polis Narmada.

“Satu hari suntuk saya berada di balai polis itu dan hanya makan bijirin yang dibelikan seorang anggota polis kerana kasihan melihat keadaan saya dan anak,” katanya.

Dibawa ke rumah sakit jiwa

Kemudiannya, dia ditempatkan di Forest Gerong dengan layanan yang begitu baik, seterusnya tinggal di Bude Rene iaitu tempat perlindungan ibu dan anak.

Setelah penat seharian terumbang-ambing dibawa ke sana sini, fikirannya mula melayang teringat akan kampung halaman dan terus menghubungi kakaknya, Hartini Ibrahim, 38, menceritakan keadaan sebenarnya yang sebelum ini dikhabarkan elok belaka.

Bagaimanapun akibat tertekan berikutan berita mengenai anaknya tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana disahkan menjadi kerakyatan Indonesia dan masalah rumah tangga, Harlizan pernah dua kali dibawa ke rumah sakit jiwa sepanjang berada di pusat perlindungan berkenaan.

Pelbagai usaha dilakukan untuk membawa mereka pulang, akhirnya nasib menyebelahinya. Akhirnya dia dan anaknya berjaya dibawa keluar dari Indonesia, malah Zulfaqar, berjaya memperoleh kerakyatan Malaysia.

Kini setelah hampir empat bulan berada di kampung, dia beransur pulih dan semakin berisi.

Harlizan perlahan-lahan berusaha membuang kenangan hitam dalam hidupnya untuk memulakan hidup baru bersama anaknya.

Teruja beraya di kampung halaman

“Saya sangat bersyukur kerana dapat berkumpul bersama tujuh lagi adik beradik lain pada pagi raya bersama ibu, Siti Hasmah Sheikh Puteh, 67, sehingga ingatan kepada bekas suami dapat dibuang jauh-jauh.

“Persiapan menyambut hari raya kali ini disediakan lebih awal kerana saya memang teruja beraya di kampung sendiri daripada negara orang, walaupun budaya mereka lebih kurang sama dengan Malaysia,” katanya.

Namun dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, ada timbul perasaan kesal kerana raya kali ini dia tidak lagi dapat mencium tangan arwah bapa, Ibrahim Abdullah yang pergi ke Rahmatullah hampir dua tahun lalu akibat strok.

Walau kesempatan itu tidak dapat dilakukan, Harlizan tidak lupa untuk menziarahi pusara ayahanda pada pagi raya bersama ahli keluarga lain.SH

No comments:

Post a Comment