Search This Blog

Saturday, September 24, 2011

Geng curi motosikal tumpas



KOTA BHARU 23 Sept. - Polis menahan empat lelaki yang dipercayai aktif mencuri motosikal dalam serbuan di dua buah rumah di Kampung Rekang Hulu dan Kampung Kuau, Bachok, dekat sini, 6 September lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kesemua lelaki yang berusia 20-an itu bekerja sebagai petani, buruh dan nelayan sementara salah seorang daripada suspek yang ditahan adalah pembeli motosikal curi.
Menurutnya, ekoran penahanan pukul 3.45 pagi itu, pihak polis turut merampas empat buah motosikal, sebuah jenis Honda EX 5, dua buah jenis Yamaha LC 135 dan sebuah Yamaha Lagenda yang dilaporkan hilang di sekitar bandar ini.
"Dua daripada motosikal terbabit telah ditemui di salah sebuah rumah seorang suspek yang disyaki membeli kenderaan terbabit sementara dua lagi motosikal ditemui masing-masing di rumah dua daripada suspek terbabit.
"Siasatan juga mendapati, suspek yang merupakan satu kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal sejak empat bulan lalu diketuai oleh seorang suspek yang bekerja sebagai nelayan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Azham berkata, dalam serbuan di rumah ketua kumpulan terbabit yang berusia 26 tahun itu, polis juga merampas pelbagai jenis komponen motosikal curi yang telah dileraikan.
Menurutnya lagi, motosikal yang dicuri itu dijual dengan harga RM300 dan polis percaya sudah banyak motosikal yang curi yang telah dijual suspek.
"Kita turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap keempat-empat suspek dan kesemua positif pil kuda," ujarnya.

No comments:

Post a Comment