Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Dirobek 4 peluru

SEREMBAN: Seorang penarik kereta berlesen di sebuah bank, di sini, maut apabila ditembak di kepala dan badan oleh pembonceng motosikal dalam satu kejadian di Taman AST, di sini, tengah malam kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam itu, mangsa, P Vickneswaran, 33, yang berasal dari Taman Rasah Jaya, di sini, sedang minum di sebuah restoran bersama rakannya dan mangsa maut terkena empat das tembakan di kepala dan badan.

Akibat tembakan itu, satu peluru yang menembusi bahagian badan mangsa terpelanting ke arah seorang daripada tiga rakannya menyebabkan rakan mangsa itu cedera di paha kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, satu das tembakan dilepaskan terkena bahagian kepala mangsa, manakala tiga peluru lain di bahagian badan.

Katanya, rakan mangsa berusia 44 tahun yang cedera di bahagian kaki itu kini mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

“Kami tidak menolak kemungkinan motif serangan akibat dendam, namun siasatan lanjut daripada pelbagai aspek akan dijalankan termasuk mengesan dua suspek yang dipercayai menunggang motosikal jenis Honda EX5.


“Kedua-dua suspek memakai topi keledar tidak berpenutup dan memakai jaket gelap,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, dekat sini, semalam.

Menurutnya, mangsa adalah bekas orang kena sekatan dari 2005 hingga 2008.
Katanya, pihaknya mengesan dua suspek yang berbadan kurus dan tinggi, berkulit gelap serta mempunyai misai nipis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta bekerjasama dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6014999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.hmetro

No comments:

Post a Comment