Search This Blog

Saturday, September 24, 2011

Dipukul lima rakan

GOMBAK: Seorang lelaki menerima empat jahitan di dahi dan luka di kaki selepas dibelasah lima lelaki kerana enggan menyerahkan wang yang diminta mereka, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun yang baru pulang bekerja terkejut apabila lima lelaki terbabit yang dikenalinya menunggu di depan pintu rumahnya di Taman Rawang Putra, di sini.

Mangsa yang kepenatan mahu masuk ke dalam rumah, namun dihalang sebaliknya mereka meminta mangsa menyerahkan wang.

Menurut sumber, mangsa memberi alasan tidak mempunyai wang tambahan pula belum menerima gaji dan menyuruh semua lelaki itu beredar.

“Mereka mengajak mangsa minum dan melepak bersama, namun mangsa enggan dan menolak ajakan itu.

“Berang ajakan tidak dilayan tambahan mangsa tidak memberi wang menyebabkan mereka naik angin dan memarahi mangsa,” katanya.


Sumber berkata, belum sempat mangsa berbuat apa-apa seorang daripada mereka menghentak kepalanya dengan topi keledar dan menumbuk muka beberapa kali.

“Mereka membelasah mangsa beramai-ramai beberapa minit sebelum meninggalkannya.

“Mangsa yang cedera pergi ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan dan menerima empat jahitan di dahi,” katanya.

Mangsa yang bimbang dengan keselamatannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Selangor untuk tindakan lanjut sebelum kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

No comments:

Post a Comment