Search This Blog

Saturday, September 24, 2011

Cermin kereta Adun kena pecah



SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, Yap Yew Weng kerugian lebih RM1,500 apabila cermin kereta jenis Nissan X-Trail miliknya dipecah dan beberapa barangan di dalamnya hilang dipercayai dicuri, awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4.30 pagi di kediamannya dekat Taman Rasah Jaya, di sini apabila cermin pintu belakang bahagian kanan keretanya dicabut dan diumpil dengan alat dipercayai pemutar skru.

Yew Weng berkata, sewaktu kejadian beliau sedang nyenyak tidur dan tidak mendengar apa berlaku di luar rumahnya.

Menurutnya, kejadian disedari kira-kira 9 pagi sewaktu beliau mahu pergi pejabat.

“Sebaik sahaja saya menghampiri kereta, saya dapati cermin pintu belakang sudah tidak ada dan cermin tingkap dicabut itu berada di bawah kereta.

“Saya mula bimbang dan mendapati komputer riba dan beg pakaian yang diletakkan dalam kereta itu hilang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Yew Weng berkata, berdasarkan makluman daripada jirannya, sewaktu kejadian, alat penggera keretanya berbunyi, tetapi jirannya itu tidak melihat sebarang kelibat manusia di luar kawasan rumah tersebut.

Berikutan kejadian itu, Yew Weng membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment