Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Budak Kemboja lemas ketika mandi laut

PEKAN: Kegembiraan sekumpulan kanak-kanak mandi di Pantai Kampung Sekukuh, dekat sini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, tengah hari kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Muhammad Ghazali Sulaiman berusia enam tahun yang berasal dari Kemboja disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pekan (HP).

Difahamkan, mangsa bersama sekumpulan rakan pergi bermain di pantai berkenaan pada jam 9 pagi sebelum mereka dikatakan mandi bersama.

Bagaimanapun, tidak sampai setengah jam kemudian mangsa dihanyutkan ombak secara tiba-tiba sebelum kejadian itu disedari rakan mangsa.

Rakan mangsa yang menyedari kejadian terbabit bergegas pulang ke rumah, tidak jauh dari pantai dan meminta pertolongan abangnya selepas menceritakan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, rakan mangsa bersama beberapa penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.


Menurutnya, selepas hampir setengah jam, mangsa ditemui namun dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Katanya, mangsa anak keempat daripada sembilan beradik itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
“Polis mengesahkan kejadian terbabit tidak mempunyai unsur jenayah dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut.

“Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan di HP, petang kelmarin.

“Difahamkan, mayat mangsa sudah dibawa pulang ke negara asalnya untuk urusan pengebumian,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis mengingatkan orang ramai supaya mengawasi pergerakan anak bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.hmetro

No comments:

Post a Comment