Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Brek basikal rosak, lelaki maut kemalangan

BEGINILAH keadaan basikal selepas dirempuh kereta Honda Accord
hingga menyebabkan Hanadin maut dalam kejadian di Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki warga Indonesia yang mengayuh basikal tanpa mementingkan aspek keselamatan membawa padah apabila dia maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di persimpangan SS 1/10 berhampiran SS 1/13 di sini semalam.
Kejadian pukul 2 petang itu menyebabkan Hanadin Hosin, (gambar) 59, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan patah tengkuk.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila Hanadin gagal memperlahankan basikal tersebut ketika hendak menuruni bukit di persimpangan itu ekoran mengalami masalah brek.
Kawasan itu dikatakan sering berlaku kemalangan.
Sebaik dirempuh kereta jenis Honda Accord itu, mangsa terus terperosok di bawah perut kereta itu lalu meninggal dunia.
Pegawai Penyiasat Trafik Petaling Jaya, Inspektor Mohd. Firdaus Razak berkata, pihaknya sedang mencari waris mangsa ekoran alamat yang ditemui pada dokumen perjalanannya di Kampung Kastam, Brickfields tidak menemui sesiapa.
“Kawasan itu telah dibangunkan untuk projek pembinaan dan tiada sesiapa lagi yang tinggal di situ,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.
Polis turut mengambil keterangan pemandu kereta itu sebelum dia dibebaskan.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung waris Hanadin diminta menghubungi Balai Polis Petaling Jaya di talian 03-79662222 sambungan 2268 untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment