Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Berat hati ibu jadi petanda



ALOR GAJAH - Rasa berat hati seorang ibu meninggalkan anak gadisnya untuk beraya di Ipoh, Perak, rupanya membawa petanda anaknya itu akan pergi buat selama-lamanya.

Nurkhairunnisa Abu Bakar, 23, meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Masjid Tanah - Alor Gajah, berhampiran sebuah stesen minyak, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa menunggang motosikal Suzuki RG125 dengan membonceng seorang rakan serta kanak-kanak dari arah Masjid Tanah ke Alor Gajah dan dikatakan baru selesai mengisi minyak.

Bagaimanapun, pemboncengnya, Suziliana Draman, 20-an dan kanak-kanak terbabit, Nur Mohd Airil Aiman, 7 bulan, selain penunggang sebuah lagi motosikal hanya cedera ringan.

Ibu mangsa, Che Laili Mat Hussain, 43, berkata, dua hari sebelum Aidilfitri, anak sulungnya itu tidak turut sama pulang ke kampung halaman di Ipoh kerana terpaksa bekerja di sebuah resort di Ayer Keroh, pada hari raya pertama.

Menurutnya, dia memang merasa berat hati hendak meninggalkan Nurkhairunnisa atau nama panggilannya Along, bersama ibu saudaranya di Masjid Tanah.

“Berulang kali saya bertanya pada arwah sama ada dia berkecil hati ditinggalkan beraya di rumah ibu saudaranya tanpa tiga adiknya lain. Tapi arwah berkata, dia tidak terkilan.

“Pada pagi Ahad sebelum kami bertolak, arwah bersungguh-sungguh melambai tangan ke arah kami menyebabkan hati saya rasa sayu melihat wajahnya yang semakin jauh kami tinggalkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Che Laili, arwah sempat memesan supaya membawa pulang kuih sepit dan kuih ros kerana teringin merasa kuih itu.

“Saya terus membeli ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh, meskipun tahu ia boleh dibeli semasa dalam perjalanan pulang semula ke Melaka nanti.

“Bahkan, saya sendiri rasa tidak sabar hendak memberikannya,” katanya.

Che Laili berkata, Allahyarham Nurkhairunnisa turut memberitahunya supaya mengajak saudara mara di Ipoh untuk pulang beraya di Melaka bersamanya, disebabkan dia tidak pulang ke kampung. Rupanya, ia benar-benar berlaku, tetapi masa ini saudara mara datang untuk menziarahi jenazah arwah.” katanya.

Sementara itu, bapa arwah, Abu Bakar Md Derus, 49, berkata, tidak menyangka perubahan sikap garang arwah anaknya kepada mudah mesra adalah petanda.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superitendan Abd Rahman Jid berkata, semasa kejadian, sebuah motosikal ditunggangi seorang warga India dari arah Lubok China hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar motosikal mangsa.

“Akibat pertembungan itu, kesemua mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dibantu orang ramai.

“Mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh doktor perubatan sewaktu dalam ke Hospital Alor Gajah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.SH

No comments:

Post a Comment