Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Baju raya pengubat rindu



KEMAMAN – Saat keluarga Islam lain gembira menyambut 1 Syawal, keluarga besar Tuan Wook Badariah Tuan Mat, 47, di Kampung Gong Cengal, Kemasik, di sini, masih dirundung duka.

Tragedi berdarah di Kilometer 127 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di persimpangan Awana Kijal yang meragut nyawa tiga ahli keluarga mereka pada tanggal 18 Ogos lalu seolah-olah baru semalam berlaku.

Tuan Wook Badariah berkata, lebih perit bila mengenangkan anaknya, Nik Herna Ariany Mokhtar, 28, menantunya, Aswari Ariffin, Mohd Aswari Ariffin, 36 dan cucunya, Muhammad Airell Zulfairy, 4, tahun meninggal dunia dalam perjalanan pulang selepas pergi membeli pakaian raya di Kuantan, Pahang.

“Pada mulanya saya dan suami merancang membeli pakaian raya anak selepas anak kedua saya dan suaminya membeli baju raya mereka sekeluarga dan anak bongsu kami, Nik Nor Syafiqah, 10.

“Tapi apabila musibah ini terjadi, kami sudah tidak terfikir untuk membeli kelengkapan raya. Raya tahun ini kami pakai apa yang ada sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Luah ibu 10 anak itu, kehila-ngan tiga ahli keluarga serentak manakala anak bongsu pula parah bagaikan satu mimpi ngeri yang sukar diterima.

Namun, jauh di lubuk hati Tuan Wook Sabariah reda dengan segala ujian ALLAH SWT dan yakin segala ujian yang ditanggung mereka sekeluarga mempunyai hikmah di sebaliknya.

“Kalau ikutkan hati raya tahun ini sudah tidak bermakna tapi kami perlu kuat,” katanya.

Tuan Wook Badariah yang turut memiliki anak kembar tiga berkata, Nik Herna merupakan salah seorang daripada tiga anaknya yang sudah berkahwin manakala yang lain masih lagi bujang termasuk masih ada bersekolah.

Sementara itu, dalam nahas ngeri 18 Ogos lalu, tiga beranak berkenaan maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan selepas kereta sewa yang dinaiki terbabas sebelum bertembung dengan Suzuki Swift.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, kemala-ngan itu dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dinaiki tiga beranak itu bersama Nik Nor Syafiqah terbabas lalu melanggar tiang lampu di tengah jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu Ahmad Tajuddin.

Jenazah tiga beranak itu kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pekan Kemasik.

Rancang upah haji

Walaupun terpaksa melalui dugaan yang maha berat, namun Tuan Wook Badariah dan suami, Mokhtar Said, 52, bersyukur kerana ramai pihak yang bersimpati dengan nasib mereka sekeluarga sekali gus sedikit sebanyak memberi mereka kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Keluarga berkenaan turut menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang turun padang menziarah dan menyampaikan sumbangan.

Turut menziarah, Adun Kemasik, Ir Rosli Othman bersama isteri dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Rohani Abdullah.

Sumbangan RM1,200 turut diberikan kepada empat anak Tuan Wook Badariah yang masih bersekolah berserta bantuan lain meringankan beban ditanggung.

“Kami sekeluarga bersyukur mendapat sumbangan ini daripada Datuk Seri (Ahmad Shabery). Insya-Allah, kami merancang lakukan upah haji untuk keluarga arwah Nik Herna tiga beranak.

“Hanya ini yang mampu kami lakukan dan diharap roh mereka bertiga tenang di sana,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga kini hanya menumpukan perhatian mengadakan tahlil arwah Nik Herna tiga beranak. Arwah anak keduanya itu juga merupakan Ketua Puteri UMNO Cawangan Bukit Kukuran.

Baju raya pengubat rindu

Beberapa seluar jeans dan baju T yang tidak sempat dipakai Muhammad Airell Zulfairy, menjadi pengubat rindu Tuan Wook Badariah sekeluarga jika rindukan keletah cucunya itu yang juga anak tunggal hasil perkongsian hidup Nik Herna dan Aswari.

Seluar jeans dan baju itu masih berkeadaan elok dan ditemui dalam bonet kereta sewa dipandu menantunya itu sementara barangan lain yang dibeli dan diletakkan dalam ruangan kereta rosak akibat keadaan kereta remuk teruk selepas kemalangan.

Kata Tuan Wook Badariah, memandangkan anak kedua dan cucunya itu tinggal bersama mereka sekeluarga jadi hubu-ngan antara mereka sangat rapat manakalanya menantunya pula bekerja di Gebeng, Pahang dan akan pulang setiap hari minggu.

Kini hanya seluar dan baju itu yang tinggal bersama kenangan.

Pada masa sama keluarga itu berharap Nik Nor Syafiqah yang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu akan cepat sembuh.SH

No comments:

Post a Comment