Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Angkara serangan kerbau



HULU BERNAM - Pengusaha tanaman pisang di Kampung Serigala, di sini mendakwa mengalami kerugian besar akibat serangan kerbau milik penternak di kawasan itu.

Hamidon Abdul Aziz, 35, berkata, tanaman yang diusahakan sejak dua tahun lalu musnah setelah kerbau memasuki kawasan tanamannya dan merosakkan hampir kesemua pokok pisang yang kebanyakan baru mengeluarkan hasil.

"Kejadian berlaku pada malam 21 Ogos lalu dan saya hanya menyedari keadaan ini keesokan harinya, siapa yang tidak sedih apabila melihat kebanyakan tanaman pokok pisang musnah," katanya kepada Sinar Harian.

Hamidon berkata, gangguan haiwan itu merupakan kejadian kedua dialaminya setelah tanaman ubi keledek yang diusahakan seluas 10 ekar turut rosak.

Menurutnya, gara-gara gangguan haiwan itu, tidak mustahil, tanaman yang diusahakan bersama belia tempatan di kampung berkenaan tidak dapat diteruskan lagi kerana hanya mendatangkan kerugian.

"Kita hanya meminta supaya pemilik kerbau berkenaan menjaga ternakannya agar tidak merosakkan tanaman di kawasan ini.

"Kawalan ternakan secara baik dan sistematik dapat menghalang kejadian seperti ini berulang," katanya.

Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu, malah aduan sama telah dikemukakan kepada pemimpin peringkat daerah antaranya ketua kampung, penghulu mukim dan Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Difahamkan, tanaman yang diusahakan belia tempatan itu dilaksanakan di atas tanah seluas 10 ekar pemberian Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDHS) bagi projek pertanian tanaman kontan.

Terdapat 30 ekar tanah lagi di kawasan berhampiran diusahakan 10 belia tempatan bagi setiap kampung terlibat dengan projek itu.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Sungai Selisek, Kampung Gesir dan Kampung Lalang.

Sementara itu, Nor Hisham yang ditemui ketika melawat lokasi kejadian berkata, tindakan lanjut akan diambil.

Katanya, sebagai langkah awal, kedua-dua pihak harus mengambil inisiatif bagi memastikan keadaan terkawal.

"Penternak perlu lebih peka dengan menjaga dan mengawal ternakan daripada terlepas ke kawasan kebun penduduk kampung.

"Dalam masa yang sama, pengusaha tanaman juga harus meningkatkan penjagaan tanaman dan kawalan seperti memagar kawasan tanaman agar tidak mudah dimasuki haiwan liar," katanya.SH

No comments:

Post a Comment