Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Abang maklum adik maut sebab dihempap pokok



KOTA BHARU- Abang kepada mangsa remaja yang mengusahakan ladang getah dan pisang di Gua Musang yang meninggal dunia Rabu lalu memaklumkan kes kematian itu disebabkan dihempap pokok.

Abangnya, Zubir Wan Daud, 27, berkata, setelah membuat laporan baru di Balai Polis Kubang Kerian, di sini Khamis lalu, jenazah kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat di sana.

Arwah adiknya, Wan Mohd Helmi Wan Daud, 24 meninggal dunia dalam kejadian ribut dan dihempap pokok semasa dalam perjalanan dari Chiku 5 ke Gua Musang pada Selasa lalu bersama dua lagi rakan.

Bagaimanapun, sehari setelah arwah koma dan diwadkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, rakan yang terselamat itu memberitahu arwah dipukul menyebabkan pihak keluarga mahu punca kematian disiasat.

“Setelah bedah siasat itu dijalankan, Unit Forensik HRPZ II mengesah dan memaklumkan punca kematian adalah disebabkan dihempap pokok.

“Kami reda dengan keputusan yang dilakukan, sekurang-kurangnya ahli keluarga berpuas hati setelah bedah siasat dijalankan dan pengesahan ini mengelak kekeliruan yang timbul sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Katanya, jenazah adiknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bintang, Setiu, Terengganu jam 9.30 pagi kelmarin.

Kelmarin lalu, Sinar Harian melaporkan keluarga minta punca kematian Wan Mohd Helmi disiasat bagi mengelak kekeliruan setelah pada mulanya dikatakan maut akibat dihempap pokok, namun rakan yang terlibat sama dalam kemalangan mengatakan mangsa dipukul.

No comments:

Post a Comment