Search This Blog

Monday, September 26, 2011

23 kafe siber digempur



ALOR GAJAH 25 Sept. - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terus menggempur 11 kafe siber berlesen di bawah kawasan pentadbirannya bagi membanteras kegiatan perjudian haram Internet dalam satu operasi bersepadu di sini malam tadi.
Setiausaha MPAG yang mengetuai operasi itu, Shadan Othman berkata, 11 daripada 32 premis kafe siber berlesen di daerah itu yang diserbu semalam ialah sekitar pekan Alor Gajah, Pulau Sebang, Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru dan Tanjung Bidara.
Menurut beliau, semua premis yang diserbu itu didapati melakukan pelbagai kesalahan melanggar syarat lesen di bawah Undang-Undang Kecil Tred Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Sebanyak 31 kompaun bernilai RM7,750 atas pelbagai kesalahan dikeluarkan antaranya beroperasi lebih masa, membenarkan permainan video dan keadaan premis yang kotor," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Selain MPAG, operasi bermula 9.45 malam dan berakhir pukul 3 pagi itu disertai 45 pegawai dan anggota termasuk polis Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Menurut Shadan, sebanyak 45 buah komputer dan unit pemproses pusat (CPU) telah dirampas di 11 premis tersebut kerana melanggar syarat lesen Internet dengan membenarkan permainan video.
"Semua premis itu juga dipercayai melanggar syarat binaan bangunan dengan melakukan pengubahsuaian dalam premis tanpa mendapat kelulusan PBT.
"Pemeriksaan juga mendapati, empat premis judi haram berkomputer yang diserbu sebelum ini telah menutup operasi mereka dan pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa," katanya.
Sementara itu, operasi sama dilakukan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) malam tadi dan mendapati 12 premis haram yang disyaki menjalankan kegiatan judi haram sebelum ini telah menutup operasi mereka.
Setiausaha MBMB, Azmi Hussin berkata, 12 premis haram yang diperiksa ialah di Gadong Perdana sebanyak dua premis, Bertam Perdana (2), Taman Seri Telok Mas (2), dan masing-masing satu premis di Taman Seri Duyung, Kampung Lapan, Taman Peringgit Jaya, Taman Kota Laksamana, Bukit Baru dan Taman Melaka Raya.
"Salah satu daripada premis itu didapati telah mengosongkan bangunan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment