Search This Blog

Tuesday, August 30, 2011

Waspada di 20 laluan maut



ALOR SETAR - Terdapat lebih 20 lokasi yang kerap berlaku kemalangan di kesan di negeri ini dan pengguna jalan raya dan lebuh raya diminta lebih berhati-hati, khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, M Surentharan berkata, pada tahun lalu, sejumlah 531 kematian dicatatkan di negeri ini, melibatkan kawasan-kawasan berkenaan.

“Antara lokasi yang kerap berlaku kemalangan ialah Kilometer (KM) 26 Jalan Serdang-Kulim, KM1 hingga KM9 Jalan Alor Setar-Pokok Sena, KM8 Jalan Alor Setar-Kangar, KM1 hingga KM3 Jalan Alor Setar-Sungai Petani (Tandop), KM51 Jalan Alor Setar-Butterworth, KM39 hingga KM69 Jalan Alor Setar-Butterworth, KM8 Jalan Gurun-Jeniang, KM5 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil, Batu (Bt) 5 Jalan Bedong-Tanjung Dawai.

“Manakala di kawasan lain termasuklah KM12 Jalan Kulim-Mahang (kilang baru), KM32 Jalan Kulim, KM19 hingga KM25 Jalan Alor Setar-Kangar, KM7 Bukit Tekoh (Langkawi), Simpang 3 Landak (Jalan Kulim-Gerik), KM1 Jalan Kuala Nerang-Pokok Sena, Titi Haji Idris-Pendang, KM23 Jalan Alor Setar-Sungai Petani, KM12 Jalan Jeniang-Sik, KM16 hingga KM20 Lebuhraya Utara Selatan, KM29.3 Jalan Sungai Petani-Baling, dan KM58 hingga KM60 Lebuhraya Utara Selatan,” katanya.

Menurutnya, menjelang musim perayaan kali ini, aliran trafik di kawasan utara semakin bertambah dan pengguna jalan raya, khususnya penunggang dan pembonceng motosikal dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa melalui kawasan terbabit.

“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, hujan lebat menyebabkan terdapat banyak jalan yang rosak dan ia juga boleh mengundang kemalangan sekiranya pengguna jalan raya tidak berwaspada,” katanya.



Ops Sikap 22 catat 918 kemalangan



Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah turut mengesan beberapa lokasi lain yang turut dikenal pasti sebagai lokasi yang kerap berlaku kemalangan maut, selain daripada lokasi yang dimaklumkan sebelum ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, lokasi terbabit termasuklah di Kubang Pasu; Jalan Jitra-Sungai Korok dan Jalan Changlun-Kodiang, di Baling; KM40 Jalan Sungai Petani-Baling, di Bandar Baharu; KM26 Jalan Serdang-Kulim, dan di Yan; KM31 Jalan Alor Setar-Sungai Petani.

Menurutnya, dalam Ops Sikap ke-22 tahun lalu, sejumlah 918 kemalangan dilaporkan berlaku melibatkan 60 kemalangan di lebuh raya, 329 di jalan persekutuan, 306 di jalan negeri, 150 di jalan bandaran dan 73 di jalan-jalan lain.

“Sebanyak 16 kemalangan maut dengan 17 kematian dilaporkan berlaku, manakala kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan ialah motokar (1088), motosikal (407), teksi (7), lori (72), van (23), bas (9), basikal (8), pacuan empat roda (4), kenderaan lain (28) serta 11 pejalan kaki.

“Antara punca berlakunya kemalangan ialah terbabas yang melibatkan tujuh kes, bertembung (dua kes), langgar belakang (dua kes), masuk laluan (dua kes) melintas jalan (dua kes) dan satu kes disebabkan faktor lain,” katanya.

Ahmad berkata, sejumlah 10,052 saman dikeluarkan kepada pelbagai jenis kenderaan sepanjang Ops Sikap sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

“Paling tinggi ialah motokar iaitu 4,450, motosikal (2,741), teksi (1,820), lori (203), van (224), bas (18), pacuan empat roda (427) dan kenderaan lain (169).

“Justeru, saya berharap agar pengguna jalan raya lebih berwaspada selain turut membuat pemeriksaan bagi memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik, agar selamat tiba di destinasi yang dituju,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, PDRM Kedah menyasarkan penurunan kemalangan sebanyak lima peratus sepanjang Ops Sikap ke-24 dan sasaran itu akan dicapai sekiranya mendapat kerjasama daripada pengguna jalan raya, menerusi pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang.

“Ops Sikap ke-20 pada 2009 sempena Hari Raya Aidilfitri mencatatkan 994 kemalangan jalan raya dengan 24 kemalangan maut dan 27 kematian, dan angka itu berkurangan pada Ops Sikap ke-22 tahun lalu.

“Ini jelas menunjukkan keberkesanan Ops Sikap, khususnya dari aspek penurunan jumlah kemalangan dan kematian, sejak ia dilancarkan pada 2001,” katanya.



Pasang lebih banyak papan tanda amaran



Pihak berkuasa juga diminta memasang lebih banyak papan tanda jalan sebagai amaran dan peringatan kepada pengguna jalan raya yang melalui laluan-laluan yang kerap berlaku kemalangan.

Pengguna jalan raya, Ku Nasaruddin Ku Salleh, 30, berkata, tidak dinafikan antara punca berlakunya kemalangan ialah disebabkan keadaan jalan raya yang rosak, berlubang dan selekoh tajam.

Sementara itu, Zainab Ahmad, 67, berkata, keselamatan warga emas sepertinya yang lazimnya menunggang basikal atau berjalan kaki, juga perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pengguna jalan raya.

“Saya berharap semua pengguna jalan raya lebih peka dengan keadaan sekeliling serta mengambil kira faktor keselamatan, tidak hanya kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment