Search This Blog

Monday, August 29, 2011

Warga emas sakit mental hilang



CHUKAI – Ketika semua umat Islam bersiap sedia menyambut kedatangan 1 Syawal, sebuah keluarga di sini pula dibelenggu kebimbangan apabila salah seorang ahli keluarga mereka iaitu lelaki warga emas yang mengalami masalah mental menghilangkan diri sejak lebih 10 hari lalu.

Othman Saharu, 75, kali terakhir dilihat jiran keluar dari rumahnya di Kampung Mak Chili, di sini, pada 18 Ogos lalu dengan memakai kasut dan membawa bersama sebuah bungkusan yang dipercayai mengandungi pakaian.

Anak saudaranya, Adnan Hamzah, 51, berkata, jiran yang pelik dengan kelakuan bapa saudaranya yang tinggal seorang di rumahnya itu segera memaklumkan perkara itu kepadanya.

“Selepas itu, pak cik tidak lagi pulang ke rumah sehingga hari ini.

“Kami sudah membuat laporan polis berhubung kehilangannya di Balai Polis Chukai pada 20 Ogos lalu selain berusaha mencarinya di seluruh bandar termasuk Dungun dan Kuantan, Pahang, namun hampa,” katanya.

Adnan berkata, mereka khuatir dengan keadaan keselamatan dan kesihatan bapa saudara mereka berikutan dia sudah uzur.

“Justeru, kami memohon sesiapa menjumpai bapa saudara saya tampil membantu dengan menghubungi kami menerusi talian 019-909 0926 atau menyalurkan :maklumat kepada polis,” katanya.

Menurutnya, sebelum menghilangkan diri, bapa saudaranya itu kerap bertandang ke rumahnya iaitu tiga hingga empat kali dalam sehari.

Sementara itu, adik kepada Othman tetapi berlainan bapa, Ariffin Hassan, 68, berkata, abangnya itu mula tinggal sendirian selepas ibu mereka meninggal dunia pada 1990 dan selepas itu kakak mereka mahu tinggal bersama Othman di rumah peninggalan arwah ibu agar abangnya itu tidak tinggal sendirian.

“Namun, abang tidak benarkan dan kami tidak memaksa kerana faham keadaannya yang sakit.

“Dia mula mengalami gangguan mental sejak 53 tahun lalu dan pernah mendapat rawatan di Hospital Tampoi, Johor.

Ariffin berkata, mereka juga berusaha mengubat penyakitnya tetapi sehingga kini keadaan penyakitnya tidak berubah.

“Abang gemar menunggang basikal di sekitar bandar tetapi sejak empat bulan lalu saya tidak benarkan dia tunggang basikal lagi kerana takut jatuh.

“Kini, dia hanya keluar dari rumah dengan berjalan kaki dan kerap ke rumah anak saudara tetapi sejak lebih 10 hari lalu dia tidak lagi pulang ke rumah jadi kami sekeluarga risau akan keadaannya,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment