Search This Blog

Wednesday, August 3, 2011

Wanita nyaris maut kereta digesel treler

KEPALA BATAS- Seorang pemandu kereta jenis Produa MyVi hanya mampu beristighfar berkali-kali memohon diselamatkan apabila kereta yang dipandunya bukan sahaja digesel sebuah lori treler membawa mesin penuai padi di simpang empat, Pekan Lama di sini tengah hari semalam tetapi turut dirempuh sebuah motosikal dari belakang.

Biarpun tidak mengalami sebarang kecederaan, mangsa yang mahu dikenali sebagai Latifah dari Bertam Perdana berkata, dia mengalami kerugian besar apabila kereta yang baru dibelinya itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika Latifah, 40 an berhenti di lampu isyarat simpang empat itu menunggu lampu hijau untuk menghala ke arah pasar basah yang terletak berdekatan Sekolah Kebangsaan Hashim Awang di sini.

“ Kakak berada di garisan yang ditetapkan di persimpangan itu namun, sebuah lori treler membawa mesin penuai padi dari arah Bertam Perdana tiba-tiba membelok untuk ke arah jalan ke Sungai Petani merempuh bahagian kanan hadapan kereta.

“ Biarpun saya menjerit kuat, treler itu terus bergerak menyebabkan tayar mesin penuai padi berbilah besi yang dibawanya mengenai bahagian tepi kereta sehingga hampir mengenai badan saya sebelum beristighfar memohon diselamatkan oleh Allah,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sama keretanya bergerak ke depan selepas dirempuh oleh sebuah motosikal dari arah belakang menjadikan dia semakin panik.

“ Alhamdulillah selepas beberapa kali beristighfar pemandu treler itu akhirnya memberhentikan kenderaannya dan saya yang ketakutan berjaya dibawa keluar oleh orang ramai melalui pintu penumpang selepas itu.

“Terkejut besar kerana terasa saya akan mengalami kecederaan teruk dalam kejadian itu apabila bilah besi tayar mesin penuai padi itu betul-betul berada di hadapan muka,” katanya.

Penunggang motosikal yang dikenali sebagai Malan, 50’an turut bersyukur hanya mengalami kecederaan ringan sahaja dalam kejadian itu.SH

Pemandu treler itu bagaimanapun enggan ditemu bual dan masing-masing membuat laporan di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Utara sejurus selepas itu.

Kemalangan itu turut mengakibatkan aliran trafik menghala ke arah Sungai Petani tergendala selama hampir sejam.

No comments:

Post a Comment