Search This Blog

Tuesday, August 30, 2011

Wanita ditahan kes suami disimbah asid

KOTA BHARU: Wanita berusia 47 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes simbahan cecair dipercayai cuka getah terhadap suaminya seorang peniaga murtabak hingga mengakibatkan mangsa melecur di muka dan separuh badan, manakala mata kanannya kabur.
Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Idris Abd Rafar berkata, tindakan menahan wanita berkenaan dilakukan malam kelmarin dan siasatan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Wanita terbabit yang juga isteri mangsa ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes membabitkan suaminya. Dia hadir di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu (IPD) Pengkalan Chepa, malam kelmarin selepas diminta berbuat demikian.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai akibat perselisihan faham, selain tidak menolak tekanan perasaan menjadi sebab kejadian itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, biras mangsa, Abdul Ghani Yaacob, 49, berkata, keadaan Mahyudin Abdullah, 47, semakin stabil selepas menerima rawatan sejak dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) pagi kelmarin.

Katanya, mangsa yang diletakkan di Unit Kebakaran, Wad Teratai HRPZ II di sini, dijaga anak perempuannya berusia 15 tahun.


“Selepas dirawat di wad kecemasan HRPZ II pagi semalam (kelmarin), mangsa ditempatkan di Unit Kebakaran, Wad Teratai, kira-kira jam 3 petang dan keadaannya ketika itu agak stabil,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan, seorang peniaga murtabak melecur di muka dan separuh badan manakala mata kanannya kabur akibat disimbah sejenis cecair dipercayai cuka getah oleh isterinya selepas mereka bertengkar dalam kejadian di Kampung Kok Lanas di sini, pagi kelmarin.hmetro

No comments:

Post a Comment