Search This Blog

Tuesday, August 30, 2011

Ustaz hampir terperdaya



SELAYANG UTAMA – Sama seperti taktik gores dan menang yang ‘terkenal’ sebelum ini, pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan memperdaya orang ramai lebih-lebih lagi kalangan Melayu yang sibuk membeli belah di saat akhir Ramadan ini.

Kali ini walaupun tidak perlu menggores, kad mempunyai pelekat di sebaliknya diletakkan hadiah tertentu kononnya dimenangi oleh orang yang mudah terpengaruh pula digunakan.

Penceramah agama bebas yang juga bekas pegawai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam negara, Abdul Aziz Ismail berkata, dia juga hampir terpedaya dengan modus operandi pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Sebaik keluar dari pasar raya di sini, saya dihampiri pemuda seperti lagak jurujual memujuk saya mencuba nasib dengan menawarkan kad berkenaan yang mempunyai cabutan secara percuma. Untuk itu saya mencubanya untuk mengetahui apa ditawarkan.

“Selepas pelekat kad itu dibuka, lelaki terbabit menunjukkan muka gembira kononnya saya memenangi hadiah lumayan dan meminta saya mengikutnya untuk menuntut hadiah terbabit,” katanya.

Menurutnya, ketika dibawa ke pejabat operasi syarikat itu di Kepong bersebelahan Pasaraya Jaya Jusco di situ, dia diminta untuk mengisi borang, manakala pelekat diperolehnya diimbas.

Katanya, setelah proses imbasan dilakukan dia dimaklumkan memenangi sebuah kereta jenis Honda terbaru, tetapi perlu membayar wang berjumlah RM8,000 sama ada secara tunai mahupun ansuran.

“Mereka beritahu wang bayaran itu sebagai promosi iklan seperti dalam keratan akhbar mengandungi gambar individu yang memenangi hadiah sama ditunjukkan kepada saya.

“Melihat gambar individu menerima hadiah adalah pegawai polis, imam dan sebagainya saya hampir terpengaruh mendapatkan hadiah ditawarkan, tetapi saya kata tiada wang menyebabkan mereka naik marah,” katanya.

Abdul Aziz berkata, melihat cara mereka yang mencurigakan, dia pasti taktik digunakan syarikat terlibat hanya untuk memperdaya orang ramai dan berharap lebih ramai tidak terjebak.

“Nasib baik masa itu saya tiada wang, kalau tidak mungkin terjerat sama dengan janji manis mereka. Saya akan membuat laporan polis berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.

Pada tahun lepas juga pada musim sebelum hari raya, Sinar Harian mengetengahkan kes dihadapi sepasang suami dari Gombak yang kerugian hampir RM2,000 akibat terpedaya dengan taktik syarikat sama.

Lebih malang kejadian berlaku sekitar dua hari sebelum raya, menyebabkan mereka terkandas untuk pulang berhari raya di Kelantan, manakala hasrat memiliki kereta elegan berkecai.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rahim Abdullah ketika mengulas isu berkenaan sebelum ini memberitahu, mangsa perlu membuat laporan polis.

Menurutnya, orang ramai mempunyai maklumat berkaitan juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Polis Gombak di talian 03-61362899 atau 03-61262264.SH

No comments:

Post a Comment