Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Tunggu tambang, dapat mayat

SEREMBAN: “Saya sememangnya tidak menyangka kerana dia sebelum itu memberitahu hanya mahu mengambil wang untuk membayar tambang,” kata pemandu teksi, M Arumugam, 43, mengenai kejadian seorang penumpang baru dihantarnya ditemui mati di Rumah Pangsa Tun Dr Ismail, Lobak, dekat sini, malam kelmarin.
Terdahulu, suasana di rumah pangsa berkenaan gempar seketika apabila seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 13 kawasan perumahan berkenaan, kira-kira jam 7 malam.

Difahamkan, mayat mangsa dikenali sebagai P Kovaloo, 42, yang berpakaian lengkap ditemui orang awam tersangkut atas bumbung sebuah kedai makan di tingkat bawah kawasan berkenaan.

Menurut Arumugam, dia mengambil mangsa sekitar Seremban 2 memaklumkan mahu ke rumah pangsa itu, kira-kira jam 6.30 petang. “Tidak lama kemudian, dia tiba-tiba memberitahu tidak mempunyai wang membayar tambang teksi dan meminta saya menunggu kerana mahu mengambil wang di rumahnya.

“Saya yang tidak mengesyaki apa-apa dan bersetuju menunggunya dalam teksi, namun lelaki itu masih tidak kelihatan selepas kira-kira 10 minit,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Dia tersentak apabila terdengar dentuman kuat sebelum melihat orang ramai berlari dan berkumpul di sebuah kawasan berdekatan. “Bagi mendapatkan kepastian, saya bergegas keluar dari teksi dan melihat seorang lelaki terjatuh ke atas bumbung sebuah kedai makan.


“Apabila diamati, alangkah terkejutnya saya apabila mendapati lelaki itu adalah penumpang saya,” katanya.
Arumugam yang memandu teksi sejak 15 tahun lalu berkata, kejadian itu pertama kali dialaminya kerana penumpang lain sebelum ini memberi alasan mahu mengambil wang, namun ghaib kerana enggan membayar tambang.
Mayat mangsa yang mati di tempat kejadian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment