Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Tukang kebun didakwa pukul ibu tiri



Anggota polis membawa Fatihi Hamidi Zakaria yang didakwa atas tuduhan mendatangkan kecederaan kepada ibu tirinnya di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 9 Ogos – Seorang tukang kebun sebuah agensi kerajaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibu tirinya dengan menggunakan sebatang besi pada Sabtu lalu.
Fatihi Hamidi Zakaria, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa, Zaliha Othman, 43, dengan menggunakan sebatang besi panjang yang berbentuk ‘t’ di hujung manakala hujung satu lagi berbentuk ‘v’.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Losong Haji Mamat dekat sini kira-kira pukul 4 petang, 6 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.
Abdul Hayyi menetapkan 29 September ini untuk sebutan kes bagi membolehkan laporan perubatan kesihatan tertuduh dikemukakan.
Beliau turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mikiy Dunstan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

No comments:

Post a Comment