Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Topi keledar mainan bahaya



SEREMBAN – Penggunaan topi keledar mainan untuk kanak-kanak tidak boleh digunakan di jalan raya dan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk penunggang dan pembonceng motosikal melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim berkata, penguatkuasaan penggunaan topi keledar yang betul bukan untuk mengelirukan pihak berkuasa tetapi untuk aspek keselamatan.

“Saya ingatkan pada pengguna, jangan gunakan topi keledar mainan untuk anak di jalan raya kerana hasil penguatkuasaan dan rampasan yang dibuat Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) didapati ramai yang menggunakannya.

“Penggunaan topi keledar yang betul dan diluluskan Sirim adalah satu kemestian dalam usaha menjamin keselamatan pengguna jalan raya khususnya yang membawa dan membonceng motosikal,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Pelupusan Topi Keledar Terpakai di JKJR Negeri semalam.

Pada majlis itu, sebanyak 250 topi keledar rosak dan tidak selamat digunakan telah diserahkan kepada Southern Waste Management Sdn Bhd.

Ismail berkata, sejak Januari hingga Jun, sebanyak 1,000 topi keledar lama dan tidak selamat digunakan telah dilupuskan oleh pihak JKJR.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri kesal kerana masih ramai pengguna tidak mengikut arahan dan memandang ringan penggunaan topi keledar yang sepatutnya.

“Jika pengguna menggunakan topi keledar yang diluluskan tetapi cara penggunaan tidak betul ia juga tidak memberi apa-apa makna jika mereka berhadapan dengan kemalangan,” katanya.

Sementara itu Pengarah JKJR negeri, Mohd Rusdi Ismail berkata, pengguna yang mempunyai topi keledar yang tidak memenuhi ciri ditetapkan boleh menghantar topi keledar mereka kepada pihak JKJR untuk dilupuskan.SH

No comments:

Post a Comment