Search This Blog

Friday, August 5, 2011

Tidak tahu dadah dalam beg'



ALOR SETAR - Seorang jurujual sebuah pasar raya di Indonesia dalam pembelaan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam, menafikan dia mengetahui bahawa terdapat ‘narkoba’ atau dadah di dalam beg pakaian pemberian rakannya.

:Nurul Jannah Muhammad Zain, 33, yang berasal dari Jakarta Selatan berkata, dia tidak berani membawa barang terlarang itu masuk ke negara ini jika mengetahui dadah berkenaan disembunyikan di dalam beg yang dibawanya.

Menurutnya, beg berkenaan adalah pemberian seorang rakan senegara bernama Ida, yang dikenali sejak 2006, dan turut berada di Kemboja sewaktu Nurul Jannah melancong seorang diri di sana.

“Saya mengenali Ida sewaktu sama-sama bekerja di pusat membeli belah di Indonesia. Sewaktu di Kemboja, saya menghubungi Ida kerana dia pernah memaklumkan dia ada di negara itu dan kami bertemu di hotel tempat saya menginap kira-kira 30 minit kemudian.

“Kami keluar membeli belah dan pulang ke hotel tempat saya menginap selepas itu. Sewaktu mengemas pakaian yang baru dibeli, saya berniat membeli beg besar tetapi Ida memaklumkan dia ada beg besar, keluar dan kembali kira-kira satu jam kemudian ke hotel itu bersama satu beg besar,” katanya.

Dalam pembelaan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Azman Husin, Nurul Jannah berkata, dia tidak memeriksa beg itu secara terperinci namun melihat terdapat pakaian milik Ida di dalam beg berkenaan.

“Di Kompleks Kastam (Bukit Kayu Hitam), saya meminta pegawai mengangkat beg saya untuk diletak pada mesin pengimbas dan ditanya mengapa beg saya berat, saya jawab saya tidak tahu.

“Saya disuruh mengeluarkan semua barang di dalam beg. Saya tidak tahu ada dadah disembunyikan di dalam beg itu,” katanya.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa raya Kastam Diraja Malaysia, Nurul Ezwaney Husin kemudiannya menimbulkan persoalan mengenai kekerapan Nurul Jannah masuk ke negara ini bermula 26 Februari 2010.

Menurutnya, gaji sebagai jurujual di pusat membeli belah iaitu Rp500,000 atau bersamaan kira-kira RM189, Nurul Jannah dapat melancong ke beberapa lokasi dengan kerap malah mampu menaiki pesawat.

Nurul Jannah dalam jawapan balasnya memaklumkan bahawa tiket penerbangan ke Kemboja pada 13 Mac 2010, dibeli Ida menggunakan wang teman lelaki Ida, malah dia juga mendapat wang yang dikirim suaminya, seorang warga Iran yang kini bekerja sebagai mekanik di Australia, untuk dia ke Kemboja pada 7 Mei 2010.

Nurul Ezwaney bagaimanapun mempertikaikan tindakan suami Nurul Jannah yang masih menghulurkan wang untuk Nurul Jannah melancong walaupun pada masa itu mereka berdua sedang dalam proses penceraian.

Nurul Jannah ditahan pada jam 9.20 malam, 11 Mei tahun lalu, di laluan pejalan kaki Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam kerana membawa dadah jenis syabu seberat 2.605 kilogram.

Tertuduh yang diwakili peguam S P Raman, didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang boleh membawa hukuman mati.SH

No comments:

Post a Comment