Search This Blog

Friday, August 5, 2011

Tengkorak belum dapat dikenal pasti



KUALA LUMPUR 4 Ogos - Polis masih belum dapat mengenal pasti identiti pemilik tengkorak dan tulang yang ditemui dibuang di tepi jalan di Taman Lingkaran Nur, Jalan Lingkaran Nur 1/5, Kajang, dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, usaha untuk mengenal pasti identiti mangsa melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) tidak dapat dilakukan kerana tengkorak dan tulang yang ditemui sudah terlalu lama.
Beliau berkata, polis juga berusaha mengesan identiti mangsa melalui alamat didaftar pada sebuah motosikal yang ditemui di tempat kejadian tetapi turut menemui jalan buntu kerana pemiliknya sudah berpindah sejak setahun lalu dan tiada jiran mengetahui alamat terbarunya.
"Polis kini sedang berusaha mengesan identiti mangsa dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Kita harap JPJ dan KWSP ada menyimpan rekod individu yang memiliki motosikal terbabit dan sedang menyiasat kemungkinan ia berkaitan dengan penemuan tengkorak serta tulang tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 25 Julai lalu, penduduk di Taman Lingkaran Nur, gempar apabila menemui tengkorak dan seketul tulang manusia dibuang di tepi jalan.
Polis yang dimaklumkan kes tersebut segera pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan menemui sebuah motosikal jenis Honda yang sudah dileraikan di dalam gaung kira-kira 20 meter dari tempat tengkorak dan tulang ditemui.
Anggota polis forensik yang menjalankan siasatan percaya tulang dan tengkorak yang ditemui itu adalah milik individu berusia lingkungan belasan tahun.utusan

No comments:

Post a Comment