Search This Blog

Saturday, August 27, 2011

Tauke rugi RM13,000, premis terbakar



BERCHAM – Seorang pengusaha pembungkusan makanan (bahan mentah) berputih mata, rugi kira-kira RM13,000 apabila premisnya yang baru beroperasi sejak setengah tahun lalu musnah dalam kebakaran di Taman Cahaya Bercham, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, pemiliknya, Wong Kun Fatt, 53, sedang menguruskan perkara lain di luar sebelum dihubungi rakannya mengatakan premis dua tingkat miliknya terbakar.

Kun Fatt berkata, sebaik sahaja menerima panggilan telefon beliau bergegas ke kedainya bagi melihat sendiri apa yang telah berlaku.

“Sebelum ini, saya menjalankan perniagaan ‘kopitiam’ (kedai makan) namun selepas itu saya mengubah fikiran dan membuat keputusan untuk menukarkan kepada perniagaan pembungkusan makanan (bahan mentah),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah selesai memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke deretan kedai bersebelahan.

Beliau tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada litar pintas elektrik dari salah satu wayar di dalam kedai berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan, Abdul Manap Hashim ketika ditemui berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 9.30 pagi.

“Sewaktu kejadian kami sedang melakukan rondaan di sekitar Jalan Kuala Kangsar sebelum dimaklumkan mengenai kebakaran itu.

“Dua jentera dengan kekuatan 11 anggota dan pegawai dikejarkan di tempat kejadian. Kami mengambil masa tiga minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke tingkat atas,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran bermula berhampiran akuarium dan rak fail sehingga memusnahkan mesin yang digunakan untuk pembungkusan bahan mentah.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment