Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Tangkapan pertama jual mercun



KUALA TERENGGANU - Bagaikan tidak serik dengan insiden ngeri akibat bahana mercun, masih ada peniaga yang tidak menghiraukannya, malah mula menjual bahan berbahaya itu kepada orang ramai.

Tetapi mereka wajar berasa gerun kerana pihak polis kini sedang memperhebatkan operasi, dengan tangkapan pertama yang dibuat di Kampung Limbong, Paka, Dungun, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Paka yang diketuai Ketua Polis Balainya telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Limbong, kira-kira jam 5.45 petang semalam.

“Bertindak daripada maklumat orang awam, mereka telah membuat pemeriksaan di rumah itu dan menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api dalam kuantiti yang banyak.

“Kita telah merampas semua mercun dan bunga api itu dan suspek juga ditangkap. Hasil siasatan awal mendapati, suspek yang berumur 33 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak itu mendapat bekalan mercun dari Kelantan untuk dijual di sini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Suspek yang berasal dari Kampung Padang Ping itu kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Menurut Manoharan, pihaknya menganggap perbuatan memiliki dan menjual mercun adalah satu kesalahan serius susulan insiden kecederaan yang berlaku dan ia amat membahayakan orang ramai.

Katanya, pihak polis di setiap daerah telah diarahkan untuk memantau dan membuat tangkapan terhadap mana-mana individu yang memiliki atau menjual bahan berbahaya itu, bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini berlaku.SH

No comments:

Post a Comment