Search This Blog

Monday, August 29, 2011

Tak sempat beraya

KUALA LUMPUR: Belum sempat menyambut Aidilfitri, seorang pesara tentera darat maut akibat ditikam di bahagian rusuk kiri, dada serta belakang selepas bergelut dengan seorang pencuri kira-kira jam 3.15 pagi di kawasan tempat letak kereta di PPR Taman Wahyu Dua, di sini, semalam.
Mangsa, Shariff Din, 47, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Menurut isteri mangsa, Fauziah, 50, ketika kejadian, mereka sekeluarga baru pulang daripada membeli barang persiapan hari raya di Danau Kota untuk empat anaknya berusia antara 19 hingga 23 tahun.

“Kami sekeluarga sampai di kawasan perumahan kira-kira jam 3 pagi dan ketika mencari tempat letak kereta yang kosong, saya perasaan ada dua remaja berumur 20-an melepak di atas sebuah motosikal.

“Kebetulan terdapat satu ruang kosong berhampiran dua remaja terbabit sebelum seorang anak saya turun untuk menolak sebuah kereta yang menghalang ruang itu.

“Seorang daripada remaja terbabit kemudian menawarkan bantuan untuk menolak kereta itu,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, semalam.


Fauziah berkata, mereka sekeluarga kemudian naik ke rumah di tingkat lapan, namun dia curiga dengan dua remaja itu dan mengambil keputusan untuk mengajak suaminya turun ke bawah untuk memeriksa kereta Proton Saga milik mereka.

“Sebaik tiba di tingkat bawah, kami terdengar bunyi alat penggera kereta dan suami saya mendapati seorang daripada remaja tadi sedang mengumpil sebuah kereta milik rakan suami saya sementara rakannya menunggu di motosikal.

“Dia cuba menangkap remaja terbabit menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka sebelum rakannya yang cuba melarikan diri berpatah balik dan menikam suami saya sebanyak tiga kali dengan pisau,” katanya.

Menurutnya, dua remaja terbabit kemudian melarikan diri melalui pagar belakang perumahan berkenaan selepas menikam mangsa manakala dia hanya mampu menjerit memanggil nama suaminya.

Fauziah kemudian mendapatkan mangsa dan memangkunya di riba sebelum suaminya menghembuskan nafas beberapa minit selepas itu.

“Sukar untuk saya gambarkan betapa sedihnya melihat suami menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya,” katanya.

Penduduk lain yang melihat kejadian itu kemudian datang menenangkannya sebelum menghubungi ambulans dan mayat suaminya dikejarkan ke HKL.hmetro

No comments:

Post a Comment