Search This Blog

Tuesday, August 30, 2011

Surat tawaran palsu



IPOH – Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Lenggong, Mohd Subari Muhamed, 26, membuat laporan polis di Balai Polis Lenggong Khamis lalu berhubung surat palsu yang menawarkan bantuan wang sejumlah RM300 dari pihak ahli parlimen sebelum hari raya ini kepada penduduk kawasan berkenaan.

Menurutnya, perkara itu mula disedari selepas beberapa ahli Umno di Parlimen Lenggong menerima surat yang disyaki didalangi pihak tertentu bagi menimbulkan kemarahan penduduk.

“Isi kandungan surat itu mendakwa penerima akan diberikan RM300 daripada Ahli Parlimen Lenggong dan mereka diminta datang menuntutnya di pejabat.

“Surat itu turut menyatakan penerimanya terdiri daripada mereka yang tercicir daripada mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan Langkawi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Subari menegaskan bahawa segala isi kandungan yang tercatat dalam surat berkenaan adalah palsu termasuklah tanda tangan, rujukan dan kepala surat (letter head).

“Saya juga ingin menyatakan bahawa pejabat Ahli Parlimen Lenggong tidak pernah menyalurkan sebarang bantuan dengan cara berkenaan.

“Kami tidak beri bantuan secara bersurat kecuali mereka yang menghadapi masalah datang sendiri ke pejabat dengan surat pengesahan dan sokongan kepimpinan kampung.

“Lazimnya setiap bantuan yang disampaikan akan disalurkan sama ada melalui ketua kampung atau kepimpinan yang diiktiraf sahaja,” katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah ketika dihubungi semalam, meminta rakyat berwaspada dengan pelbagai tipu helah yang sedang dilakukan pihak tertentu dengan tujuan memburukkan kepimpinan dan wakil rakyat sedia ada.

“Saya harap polis akan membuat siasatan segera supaya pihak terbabit dapat dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment