Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Suami ugut simbah asid, bakar kedai



MERCHANG – Akibat tidak tahan dengan perlakuan suaminya yang sering memarahi dan memukul dirinya tanpa sebab munasabah, seorang isteri terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang berhubung kejadian itu.

Malah, wanita berumur 40 tahun ini dalam aduannya mendakwa, dia bukan sahaja dimarahi dan dipukul tetapi turut diugut akan disimbah asid, bahkan suaminya juga turut mengugut mahu membakar bangsal menjual jagung miliknya.

Menurutnya, kali terakhir suaminya yang berumur 42 tahun melakukan keganasan terhadapnya adalah pada jam 7.30 pagi 29 Julai lalu, iaitu ketika mangsa berada di rumahnya di Kampung Jambu Bongkok.

“Saya dipukul dengan rotan kerana suami menghadapi masalah dengan bekas isterinya.

“Akibat kejadian, tengkuk dan kepala saya lebam serta bengkak. Dia juga mengugut mahu menyimbah asid, malah mahu membakar rumah serta bangsal jagung saya,” katanya.

Wanita itu berkata, dia tidak tahan lagi dengan perangai suaminya yang tidak bekerja dan sering memaki hamunnya.

Tindakan keterlaluan suaminya itu, menimbulkan rasa takut yang teramat sangat, menyebabkan mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis empat hari kemudian, iaitu pada Rabu lalu.

Menurutnya, dia membuat laporan itu kerana bimbang keselamatan dirinya terus terancam dengan berharap campur tangan pihak berkuasa akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.SH

No comments:

Post a Comment