Search This Blog

Monday, August 29, 2011

Suami diikat, isteri disimbah asid dalam kereta

ALOR SETAR: Sambutan Aidilfitri buat sebuah keluarga bertukar suram apabila ibu kepada empat anak kini terlantar selepas melecur pada badan dan muka dipercayai akibat disimbah asid di Guar Chempedak, dekat Yan, kelmarin.
Mangsa, Rosnani Husin, 53, dilaporkan dalam keadaan stabil dan kini ditempatkan di Unit Kebakaran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, selepas melecur 30 peratus pada muka, leher, paha dan belakang badan. Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang juga kakitangan kerajaan bersama suaminya, 50-an, dikatakan keluar menaiki Proton Waja kerana mempunyai urusan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pasangan suami isteri itu ditahan dua lelaki tidak dikenali sebaik tiba berhampiran sebuah stesen minyak di Kota Sarang Semut.

Menurutnya, pasangan itu kemudian bersetuju menumpangkan kedua-dua lelaki terbabit yang meminta ditumpangkan kerana mendakwa kenderaan mereka kehabisan minyak.

“Ketika dalam perjalanan dari Jalan Baru ke Bukit Besar melalui Jalan Permatang Buluh, lelaki terbabit tiba-tiba mengacu sebilah pisau kepada mangsa dan mengikat suaminya sebelum ditolak di tepi jalan berkenaan.

“Mereka meneruskan perjalanan dan kira-kira 50 kilometer dari kawasan itu, suspek memberhentikan kereta lalu menyimbah asid ke muka mangsa lalu meninggalkannya bersama kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi, di sini.


Menurutnya, si suami ditemui dalam keadaan tangan dan kaki terikat di tepi jalan oleh orang awam manakala kereta dan mangsa ditemui polis di Guar Chempedak.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan sebelum dikejarkan ke wad kecemasan HSB selepas didapati melecur pada sebahagian badannya.hmetro

No comments:

Post a Comment