Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Stor haram diserbu, 321 tong gas LPG subsidi dirampas


KUALA LUMPUR 5 Ogos - Sebanyak 321 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang dipercayai cuba dijual untuk kegunaan industri berjaya dirampas oleh pihak berkuasa di kawasan perindustrian di Meranti Permai, Batu 15, Puchong, malam semalam.
Operasi yang dijalankan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Sepang melibatkan empat anggota dan pegawai hasil daripada maklumat awam.
Semasa serbuan dijalankan kira-kira pukul 9 malam, kesemua pekerja stor tersebut berjaya melarikan diri melalui pintu kecil hadapan stor berkenaan.
Menurut ketua PPDNKK Cawangan Sepang, Abd Wahab Satar berkata, premis yang diserbu itu merupakan stor haram yang digunakan untuk menjalankan pemindahan gas LPG.
"Modus operandi yang digunakan adalah dengan memindahkan gas bersubsidi 14 kilogram ke dalam tong seberat 50 kilogram.
"Tong gas 50 kilogram itu kemudian dijual kepada pihak industri dengan harga RM200 untuk satu tong," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, penyelewengan gas bersubsidi itu dilakukan bagi mengaut keuntungan dengan mudah melalui penjualan tong gas industri.
Abd Wahab memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 dan lima tahun penjara serta denda RM250,000 bagi kesalahan yang dilakukan oleh syarikat," katanya.utusan

No comments:

Post a Comment