Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Sindiket curi telefon awam tumpas





Tun Hisan Tun Hamzah (tengah) bersama Mohd. Adnan Abdullah (kanan) melihat komponen telefon awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 9 Ogos – Taktik lima lelaki menyamar sebagai kontraktor untuk mencuri telefon awam di negeri ini untuk dijual sebagai besi buruk terbongkar apabila polis menahan mereka di sebuah kedai menjual barangan lusuh di Bandar Baru Bukit Beruntung, Hulu Selangor, 26 Julai lalu.
Lima suspek berusia antara 20 dan 40 tahun itu ditahan ketika sedang menurunkan barangan yang dicuri mereka dari sebuah lori kira-kira pukul 6 petang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan mendapati suspek mencuri telefon awam dan meleraikannya untuk dijual kepada kedai barangan lusuh selain turut mengambil kesemua duit syiling di dalamnya.
“Ia melibatkan jumlah kerugian bernilai RM960,000 dan kita percaya sindiket itu turut melakukan jenayah terbabit di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.
“Di Selangor, kita percaya ia dilakukan di beberapa daerah seperti Seri Kembangan, Bangi, Serdang, Balakong, Ampang dan Rawang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah.
Menurut Tun Hisan, polis merampas 112 penutup telefon awam, 50 unit gagang telefon, 14 buah telefon awam dan penutup telefon depan serta sebuah lori dan kereta Proton Wira.
Dalam kes berlainan, Tun Hisan berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 22 tahun kerana dipercayai mencuri dan menyebabkan kebakaran di 12 pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dan Sungai Choh, Rawang.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan di rumah masing-masing iaitu di Rasa dan Taman Tun Perak, Rawang, pada pukul 9.45 malam, 4 Ogos lalu.
“Kami menerima laporan mengenai kebakaran pencawang tersebut dari pihak TNB pada 2 Ogos lalu dan ia dipercayai melibatkan kerugian berjumlah lebih RM30,000.
“Siasatan mendapati, kedua-dua suspek dipercayai mencuri kabel lalu membakar barangan itu untuk mendapatkan tembaga, sebelum dijual di pasaran.
“Polis turut menyita sebuah kereta Proton Iswara dan satu logam tembaga pencawang,” jelasnya.
Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan dalam kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.-curi

No comments:

Post a Comment