Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Sindiket curi kabel lumpuh



JOHOR BAHRU – Polis melumpuhkan satu sindiket mencuri dan menjual kabel pencawang milik beberapa syarikat telekomunikasi dengan tertangkapnya lapan lelaki dan seorang wanita dekat Muar dan Selangor, hujung bulan lepas.

Dalam serbuan kira-kira jam 6.30 petang 18 Julai lalu, dua lelaki dan seorang perempuan berumur 16 hingga 29 tahun ditahan bersama dua orang anak perempuannya di kawasan pencawang tersebut ketika sibuk memotong tali kabel sebelum di masukkan di dalam van.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, berikutan tangkapan terhadap tiga rakyat tempatan itu, polis kemudian berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan berumur 24 hingga 51 tahun dan tiga lelaki rakyat asing berumur 26 hingga 42 tahun di sebuah pusat perniagaan barangan lusuh di Bukit Puchong, Selangor, pada 4 petang, 29 Julai lepas.

“Kesemua mereka berjaya ditahan ekoran penahanan pertama terhadap dua lelaki dan seorang wanita berumur 16 hingga 29 tahun di kawasan pencawang syarikat telekomunikasi di Bukit Pasir, Muar, pada 6.30 petang, 18 Julai lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, keenam-enam lelaki terbabit merupakan pemilik premis tersebut dan pekerjanya.

Beliau berkata dalam serbuan itu polis merampas pelbagai barangan curi terdiri daripada kabel, peralatan elektronik dan bateri kepunyaan beberapa syarikat telekomunikasi yang dianggarkan bernilai RM5 juta.

Katanya, kesemua barangan tersebut dipercayai dicuri sejak lima bulan lepas di sekitar Johor, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Kuala Lumpur.

“Hasil daripada penahanan dan rampasan ini, polis percaya berjaya menyelesaikan 60 kes kecurian kabel dan peralatan milik syarikat telekomunikasi di lapan negeri berkenaan.         “Kesemua suspek direman sejak 29 Julai lepas sehingga hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 kanun yang sama,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment