Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Sindiket curi kabel, alatan elektronik RM5j tumpas



JOHOR BAHRU 5 Ogos - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kabel dan peralatan elektronik syarikat telekomunikasi yang mengakibatkan kerugian RM5 juta dengan penahanan sembilan suspek di Johor dan Selangor, pada 18 dan 29 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mereka ditahan terdiri daripada enam rakyat tempatan termasuk seorang wanita dan tiga warga asing yang semuanya berusia 16 hingga 42 tahun.
Katanya, penahanan pertama melibatkan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 16 hingga 29 tahun di kawasan pencawang syarikat Maxis, di Bukit Pasir, Muar, pukul 6.30 petang.
Tambahnya, hasil pemeriksaan polis menjumpai kabel di dalam van mereka yang dipercayai dicuri daripada pencawang Maxis berhampiran.
"Susulan itu, polis melakukan serbuan kedua di sebuah pusat perniagaan barangan lusuh di Bukit Puchong, Selangor, kira-kira pukul 4 petang pada 29 Julai.
"Hasilnya membawa kepada penangkapan tiga lelaki tempatan berusia 24 hingga 51 tahun dan tiga lelaki rakyat asing berusia 26 hingga 42 tahun. Mereka yang ditahan merupakan pemilik premis dan pekerja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah beliau, dalam kedua-dua serbuan tersebut, pihak polis merampas pelbagai barang curi terdiri daripada kabel, peralatan elektronik dan bateri kepunyaan syarikat telekomunikasi Maxis, Digi, Celcom dan Telekom Malaysia.
Katanya, kesemua barang itu dipercayai dicuri di Johor, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, kesemua yang ditahan direman sehingga hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu menerima harta curi dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," ujarnya.
Menurut beliau, sindiket itu dipercayai bergiat aktif kira-kira lima bulan lalu dan dengan penangkapan tersebut, pihaknya percaya dapat menyelesaikan 60 kes kecurian kabel dan peralatan milik syarikat telekomunikasi di sekitar Johor dan beberapa negeri lain.utusan

No comments:

Post a Comment