Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Sempat beli baju baru anak



CHENG - Hasrat seorang pemandu teksi untuk melihat anak-anaknya memakai pakaian baru sempena Aidilfitri ini tidak kesampaian apabila dia terbabit dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Datuk Zain, Lebuh AMJ, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, Ismail Zainol Abidin, 45, meninggal dunia apabila teksi dipandunya bertembung dengan sebuah lagi kereta datang dari arah bertentangan.

Mangsa sebelum ini dikatakan bersungguh-sungguh membeli pakaian baru untuk anak-anaknya sebelum Ramadan lagi.

Malah, mangsa juga sudah merancang untuk pulang bersama keluarga beraya di kampung isterinya di Baling Kedah, serta di kampung mangsa di Kuala Ketil, Kedah.

Isteri Ismail, Shuraini Md Derani, 40, berkata, dia tidak sangka kesungguhan suaminya membeli baju baru untuk empat anaknya berusia lima hingga 13 tahun petanda akan pergi meninggalkan keluarga berkenaan.

“Arwah sudah menyediakan semua kelengkapan baju raya untuk anak-anak sejak sebelum bulan puasa lagi.

"Cuma kasut untuk anak-anak saja yang dia belum sempat beli,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Hospital Melaka, di sini semalam.

Shuraini yang turut hamil empat bulan berkata, suaminya sempat bersahur awal menikmati hidangan nasi ayam bersama keluarga sebelum keluar rumah di Taman Seri Kelemak, di sini kira-kira 3.30 pagi untuk memulakan kerja di Melaka Sentral.

“Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, tetapi sempat menghulurkan wang kepada anak sulung sebagai belanja tambang bas untuk pulang ke asrama sekolah di Batu Berendam nanti.

“Saya mengetahui dia kemalangan selepas polis datang ke rumah kira-kira 5.40 pagi. Mula-mula saya tidak percaya dan menganggap polis salah orang tetapi apabila polis menyebut teksi dan nama penuh suami saya, saya tergamam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya mengetahui suaminya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Melaka bersama jiran selepas selesai solat subuh.

Shuraini turut terkilan kerana arwah suaminya tidak sempat mengetahui jantina kandungan anak kelima yang bakal dilahirkan itu biarpun sebelum ini sudah merancang untuk bersama-sama ke klinik membuat imbasan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Asisten Supritendan V Gunasegaran berkata, kemalangan berlaku apabila teksi jenis Proton Iswara dipandu mangsa bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu seorang jururawat, Cynthia Lim Ching Gek, 24, dari Pusat Perubatan Mahkota, di sini.

“Ia menyebabkan teksi dari arah Alor Gajah menghala pusat bandaraya itu terbakar di bahagian hadapan.

“Kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing dan meninggal dunia di tempat kejadian, sebelum anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa,” katanya.

Gunasegaran berkata, kedua-dua mangsa cedera parah di badan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SH

No comments:

Post a Comment