Search This Blog

Wednesday, August 3, 2011

Sanggup jahanam kereta

KUANTAN - Seorang lelaki disyaki pengedar dadah bersama isterinya sanggup menjahanamkan kereta mewah yang dinaiki apabila bertindak merempuh dua kenderaan polis yang cuba menghalang mereka daripada melepaskan diri daripada pemeriksaan di Plaza Tol Jabor, Kemaman, Terengganu, petang kelmarin.

Polis terpaksa bertindak memecahkan cermin tingkap sebelah pemandu bagi menghalang tindakan agresif lelaki itu apabila dia cuba merempuh semua kenderaan polis yang membuat halangan.

Cubaan suspek melepaskan diri gagal apabila dia berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu, polis menjumpai dua keratan straw berisi dadah Heroin, sebiji pil WY dan wang tunai RM207 dalam dompetnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek, polis turut menemui 237 gram heroin di tempat duduk penumpang belakang.

Menurutnya, turut dijumpai dan dirampas wang tunai RM1,400, empat telefon bimbit dan sebuah kereta jenis BMW yang dianggarkan bernilai RM40,000.

“Polis percaya dadah yang dibawa masuk dari ibu kota itu bernilai RM7,000 dan nilai runcitnya mencecah hingga RM21,000,” katanya dalam satu sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, suspek berusia 33 tahun berasal dari Bachok, Kelantan itu didapati positif Opiate dan memiliki dua rekod kesalahan lampau manakala isterinya berusia 27 tahun dari Marang, Terengganu positif Methamphetamine.

“Kedua-dua mereka kini ditahan reman selama seminggu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang pemandu kereta menggigil ketakutan apabila kereta yang dinaikinya bersama seorang wanita ditahan poli semasa penugasan Ops Tapis Bersepadu dalam satu sekatan jalan di Kilometer 23, Jalan Jerangau-Jabor dekat sini, petang kelmarin.

Toon Khuan berkata, hasil pemeriksaan ke atas pemandu berusia 40 tahun dan wanita berusia 37 tahun itu, polis menemui serbuk dan ketulan berwarna kehijauan disyaki Heroin seberat 453 yang dibungkus menggunakan kertas surat khabar sebelum diisi dalam sebuah beg.

“Polis percaya dadah itu dibawa dari negara jiran dan nilainya RM12,000 manakala harga runcitnya mencapai RM36,000.

“Dalam kes ini polis turut merampas wang tunai RM2,110, tiga telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Ford Laser bernilai kira-kira RM12,000 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Kuantan untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

Toon Khuan berkata, dua pasangan suami isteri itu antara enam individu yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di seluruh negeri ini dalam tempoh 29 Julai hingga 1 Ogos lalu.

“Berikutan tertangkapnya semua suspek itu, polis merampas pelbagai jenis dadah dengan beratnya lebih 753 gram dan dianggarkan bernilai RM23,500 manakala harga runcitnya hampir RM70,000,” katanya.

Dalam salah satu kejadian itu, seorang pengedar dadah cedera di bahagian muka, bahu, dada dan jari akibat bergelut dengan polis ketika cuba melarikan diri daripada Ops Tapis Bersepadu di Kampung Ria Semantan, Cheroh Raub.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu polis menemui tujuh peket plastik dadah Heroin seberat 18.7 gram dan lima keratan straw berisi dadah sama dianggarkan nilai runcitnya mencecah RM4,050.

“Kita juga turut menahan seorang penunggang dan merampas 18 peket plastik lut sinar disyaki Heroin seberat 44.30 gram yang cuba dicampak bagi mengelak pemeriksaan polis ketika melalui Jalau Krau ke Felda Mempaga 3 , Karak.
SH

No comments:

Post a Comment