Search This Blog

Friday, August 5, 2011

RM19,000 lesap sekelip mata



KUANTAN - Dalam tempoh sejam, seorang kontraktor terpaksa berputih mata kehilangan wang tunai RM19,000 sekelip mata akibat kecuaiannya sendiri di Taman Desa Mawar,Muadzam Shah, semalam.

Kejadian yang berlaku di depan rumahnya menyaksikan wang tunai milik mangsa berusia 39 tahun di dalam keretanya lesap.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superitendan Nordin Mustapha berkata, mangsa baru sahaja mengeluarkan wang tersebut dari sebuah bank kira-kira pukul 1 tengah hari telah pulang ke rumahnya untuk berehat sebentar sebelum meneruskan kerja.

Menurutnya, sejam kemudian pengadu keluar menuju ke keretanya yang diletakkan di luar pagar rumah.

“Sebaik keluar, mangsa terkejut apabila mendapati cermin tingkap kereta bahagian penumpang hadapan telah dipecahkan.

“Setelah membuat pemeriksaan, dia dapati beg yang mengandungi wang tunai RM19,000 miliknya telah hilang,” katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa juga mendakwa tidak mendengar sebarang bunyi yang mencurigakan ketika dia berada di dalam rumah dan mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Rompin.

Nordin turut meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada terutama selepas mengeluarkan duit dari bank dan jangan sesekali meninggalkan barang berharga dalam kereta.SH

No comments:

Post a Comment