Search This Blog

Wednesday, August 3, 2011

Remaja Turki disebat

SHAH ALAM: Seorang remaja Turki hanya mampu menangis sambil memandang ke arah bapanya apabila dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas mengaku salah memiliki hampir tiga kilogram syabu, tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir juga memerintahkan supaya tertuduh, Bulut Toksoz, 19, dihukum 10 kali sebatan. Akhtar pada penghakimannya berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman itu dengan mengambil kira usia tertuduh yang masih muda. “Walaupun kesalahan dilakukannya adalah berat, saya memberi peluang kedua kepada tertuduh kerana saya mahu tertuduh menyambung pelajaran,” katanya. Remaja itu berpelukan dengan bapanya yang baru tiba di negara ini untuk mengikut prosiding itu sebelum dibawa ke lokap mahkamah. Bulut mengaku salah atas pertuduhan pilihan memiliki 2.775 kg syabu di pintu ketibaan antarabangsa, tingkat 3, bangunan terminal utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini, jam 10.30 pagi, 30 Ogos 2010 Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hani Mohd Adzhar.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh, Shahrul Nizam Azwir merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya melakukan kesalahan itu kerana pengaruh rakan. “Tertuduh seorang pelajar di sebuah sekolah tinggi di negaranya dalam jurusan elektrik dan elektronik.

“Dia memohon diberikan peluang untuk kembali ke negara asal bagi membolehkan dia mencapai cita-citanya menjadi jurutera,” katanya. Selain itu katanya, tertuduh yang menjaga bapanya yang sudah bersara dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan merayu dikenakan hukuman sebatan lebih banyak untuk memendekkan tempoh hukuman penjara. “Ini bagi membolehkan tertuduh pulang ke kampung halaman secepat mungkin,” katanya.http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RemajaTurkidisebat/Article/index_html

No comments:

Post a Comment