Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Polis tunggu laporan DNA

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Laporan bedah siasat berhubung penemuan anggota badan seorang wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki yang dikerat-kerat di dalam mangkuk tandas dan beg plastik di sebuah rumah, Taman Kosas, Ampang, kelmarin, dijangka diketahui dalam waktu terdekat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, analisis cap jari bagi mengenal pasti identiti serta bangsa kedua-dua mangsa masih dijalankan.
"Pihak polis sedang menunggu laporan Asid Deoksiribonukleik (DNA) untuk menentukan sama ada dua mangsa terbabit mempunyai pertalian atau tidak.
"Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa mempunyai pertalian kekeluargaan.
"Selain ujian cap jari dan DNA, polis turut menyemak laporan kehilangan orang sekiranya ada berkaitan dengan kes ini," katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, hari ini.
Amiruddin berkata, siasatan berhubung motif, senjata digunakan akan dijalankan mengikut semua kemungkinan termasuk wujudnya unsur pemujaan atau ajaran sesat dalam kes tersebut.
Katanya, polis juga merakam percakapan beberapa penghuni pangsapuri berkenaan bagi membantu siasatan.
"Pemilik rumah itu belum dikenal pasti dan dipercayai telah ditinggalkan hampir 10 tahun lepas. Jadi, apa yang pihak polis boleh lakukan bagi mencari petunjuk kes adalah dengan mengambil keterangan jiran dan menganalisis bukti yang ada dari kedua-dua mayat yang ditemui
"Setakat ini pihak polis belum menemui sebarang senjata tajam di lokasi kejadian dan masih menyiasat sama ada kedua-dua mangsa dibunuh di lokasi yang sama ditemui atau di lokasi lain.
"Kesan darah pada baju T yang ditemui dalam beg bersama anggota badan mangsa yang dikerat-kerat itu turut dianalisis bagi mengesahkan ia milik kedua-dua mangsa," katanya.
Penemuan anggota badan manusia yang dikerat-kerat sebanyak 15 bahagian di dalam mangkuk tandas dan beg plastik di sebuah rumah menggemparkan penghuni Blok Charyssa, Pangsapuri Astaria di Taman Kosas, Ampang dekat sini, kelmarin.utusan

No comments:

Post a Comment