Search This Blog

Monday, August 29, 2011

Peti surat meletup



BESUT - Perbuatan khianat remaja ‘meletupkan’ sebuah peti surat di Alor Lintang, dekat sini, dipercayai menggunakan mercun menimbulkan kesulitan kepada orang ramai untuk menghantar surat.

Kejadian itu disedari seorang posmen yang datang untuk memungut surat dari peti itu kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam apabila mendapati pintu peti surat tercabut dan surat bertaburan di atas tanah.

Posmen yang memeriksa peti surat yang terletak di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud itu turut mendapati beberapa keping surat mengandungi dokumen penting dan kad hari raya yang dipos orang ramai turut terbakar dipercayai terkena bahan letupan mercun.

Berikutan kejadian itu, pihak pengurusan Pos Malaysia membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Menurut laporan itu, pihak pengurusan pos menerima panggilan telefon daripada seorang posmen yang terkejut apabila melihat surat bertaburan dalam keadaan terbakar.

Kejadian dipercayai dilakukan remaja yang bermain mercun malam kelmarin dan beberapa biji mercun bola didapati masih berada di dalam peti surat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada Pengurus Cawangan Serahan Pos Malaysia mengenai kejadian itu semalam.
-SH

No comments:

Post a Comment