Search This Blog

Monday, August 29, 2011

Petani tanggung rugi



PENDANG - Seluas 85 hektar sawah padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) sekitar daerah ini ditenggelami banjir berikutan hujan lebat yang melanda Kedah sejak tiga hari lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, kawasan sawah yang ditenggelami air itu adalah di Kampung Tanjung Radin, Lahar Buaya, Banggol Besi yang melibatkan kira-kira 40 petani.

“Keadaan masih stabil dan sekarang ini air meningkat sebanyak 10 sentimeter sahaja, namun pada paras berjaga-jaga iaitu 2.7 meter,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan sawah padi yang ditenggelami banjir di Pendang, semalam.

Mohd Johari berkata, pihaknya akan membuat bancian bagi mengenal pasti kerosakan sawah padi yang dialami petani.

“Sekiranya ada kerosakan kita akan lihat apa yang boleh dibantu.

“Pendang ni kawasan rendah, namun tiga projek menaiktarafkan Sungai Pendang memberi kesan kepada masalah banjir yang melibatkan kawasan sawah padi. Kini sudah masuk projek ketiga, kita dapat kurangkan 1,000 hektar sawah padi yang selalu dilanda banjir kepada 85 hektar sahaja yang tenggelam,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, projek lencongan selatan wajar dilaksanakan dengan kadar segera bagi mengatasi masalah banjir yang melanda kawasan sawah padi di sekitar daerah Pendang untuk tempoh jangka masa panjang.

“Sekiranya ada peruntukan kerajaan, kita akan buat secepat mungkin iaitu lebih kurang RM200 juta kos pembinaannya,” katanya.

Mohd Johari berkata, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah supaya menjalankan kerja pembersihan sungai termasuk pemantauan yang berterusan daripada Mada agar terusan air dapat dijaga dengan baik.

Dalam pada itu, seorang petani, Abdul Mutalib Hussin, 64, dari Tanjung Radin berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM5,000 apabila 1.96 hektar kawasan sawah padinya ditenggelami air.SH

No comments:

Post a Comment